SARIKEI: Seorang pengusaha pusat peranginan membina chalet istana lama yang comel sebagai tarikan kepada pengunjung di pantai Belawai.

Tembok Besar China sebagai sumber inspirasi, menjadikan chalet yang terletak di Iftitah & Restoran Belawai itu antara lokasi paling unik dan ‘rare’ untuk dikunjungi di negara ini.

Sentuhan magis pemiliknya, Ibnee Ekni, 55, merupakan satu pendekatan berani untuk menyediakan kelainan sekali gus menjadikannya sebagai satu lagi tarikan baharu pengunjung ke pantai Belawai.

Tanpa disedari, idea itu sebenarnya bermula daripada hasil interpretasi beliau ketika melancong di luar negara sebelum diolah dengan cara yang tersendiri.

Menurut Ibnee, dia mengambil masa yang agak lama untuk membina chalet berkenaan kerana bimbang tidak menepati konsep sebenar yang diimpikannya. “Saya ingin menonjolkan konsep abad pertengahan Eropah dengan gaya lebih santai dan ringkas bersama sedikit sentuhan elemen tempatan.

“Dengan menggunakan khidmat tukang binaan kampung, kami memulakan kerja membina chalet ini satu demi satu hingga siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ibnee berkata, sejak tular di media sosial, ‘istana lama’ itu menerima kunjungan ramai pengunjung yang ingin melihat sendiri keunikannya.

Pada masa yang sama katanya, chalet itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Selain bersantai bersama keluarga katanya, pengunjung juga boleh merehatkan minda sambil menyaksikan keindahan fenomena alam saat matahari tenggelam.

“Ketika ini, kami menyediakan pakej istimewa dengan tawaran harga promosi RM150 sehingga penghujung tahun ini manakala bermula tahun depan, sewanya RM180.

“Dalam suasana pandemik Covid-19 ini kami turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa kerana khuatir berlaku perkara yang tidak diingini di sini,” ujarnya.