BINTULU: Penerima geran projek kecil luar bandar (MRP) dinasihat supaya memanfaatkan sebaik-baiknya geran yang diterima.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, geran diluluskan Kerajaan Sarawak harus memberi manfaat masyarakat setempat bukannya disalah guna untuk kegunaan peribadi.

Tegasnya, geran MRP yang diterima tidak boleh digunakan bagi tujuan lain selain seperti yang dipohon sebelum itu.

Beliau berkata demikian pada acara ringkas penyerahan geran MRP bagi Dun Jepak di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jepak, pada Sabtu.

Menurut Adun Jepak itu, dana MRP itu amat signifikan untuk mempercepatkan proses pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Peruntukan RTP dan MRP ini dilihat amat membantu wakil rakyat untuk membangunkan kawasan luar bandar dan mempercepatkan usaha kerajaan negeri merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Talib menyerahkan geran MRP sebanyak RM227,500 kepada 31 penerima mewakil kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kawasan Dewan Undangan Negeri Jepak.