SARATOK: Pemancing yang inginkan kelainan dan pada masa sama mahu bercuti bersama keluarga atau rakan ketika memancing, boleh cuba menginap di rumah bot ‘Perauk Sewa’ di daerah Saratok.

Rumah bot yang dibina oleh nelayan Muhd Izuandie Jamali, 31, dari Kampung Melango Lama boleh disewa bagi mereka yang ingin menelusuri sepanjang sungai dari Kampung Kupang, Kampung Lubuk Tanah hingga ke Kampung Gembus.

Muhd Izuandie berkata rumah bot itu menyediakan kemudahan selesa untuk maksimum enam orang pada satu-satu masa seperti tilam bersaiz ‘queen’, televisyen panel rata, dapur mini, tandas dan dek luar malah, penumpang juga boleh tidur di dek tertutup sambil menelusuri sungai.

Beliau berkata idea untuk membina rumah bot berukuran 34 kaki panjang itu muncul kira-kira tiga bulan lepas apabila terlintas di fikirannya untuk menyediakan rumah bot dengan kemudahan penginapan buat kaki pancing.

“Saya berharap dapat menambah lebih banyak pendapatan bagi membantu keluarga dengan adanya rumah bot ini,” katanya dan menambah kos untuk membina rumah bot itu kira-kira RM25,000 menggunakan wang simpanannya.

Muhd Izuandie yang sudah berkahwin tahun lepas berpendapat beliau perlu memikirkan cara lain untuk meningkatkan taraf hidupnya agar dapat menyediakan kehidupan yang lebih baik buat keluarga terutama sekiranya mempunyai anak satu hari nanti.

“Saya melihat pandemik COVID-19 ini lebih kepada peluang untuk saya mengembangkan kemahiran dalam pembinaan bot dan menggunakannya sebagai satu lagi sumber pendapatan, saya juga berterima kasih kepada kerajaan yang meningkatkan elaun untuk nelayan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada elaun itu, jadi saya anggap ia sebagai cabaran dan berharap orang ramai khususnya rakyat Sarawak akan memberi sokongan (terhadap rumah bot) saya,” katanya.

Muhd Izuandie berkata rumah bot itu turut dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan keselamatan asas seperti jaket keselamatan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan pemeriksaan suhu penumpang serta menyediakan sewaan peralatan memancing.