KUCHING: Pasukan Dejavu bakal mewakili Sarawak ke kejohanan terpilih pada tahun hadapan setelah dinobatkan juara dalam pertandingan ‘MYSS Youth Stay At Home E-Sport Xtive Challange’ secara dalam talian selama empat minggu yang berakhir semalam.

Pasukan dari Bahagian Miri itu diwakili empat pemain iaitu Ron Bakat, Hillary Yong Wan Tech, Macmolan Travis Piter dan Dylan Muluk Stephen berjaya membawa balik wang tunai RM1,000.

Presiden Persatuan Elektronik Sarawak (Sesa) Afiq Fadhli Narawi berkata, johan pertandingan akan mewakili Sarawak ke kejohanan yang terpilih pada tahun hadapan.

“Saya berharap peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman bermain di luar negeri dan terus konsisten dalam meningkatkan prestasi permainan.

“Selain itu, peluang tersebut dapat memberi pendedahan supaya mereka dapat pergi jauh dalam bidang sukan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Manakala, tempat kedua dimenangi oleh pasukan Star Squad yang berjaya membawa wang tunai sebanyak RM800.

Tempat ketiga dan ke-empat pula dimenangi oleh Oog Esports dan C9 Sarawak. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM600 dan RM500.

Kejohanan bersempena sambutan Hari Belia Sarawak itu mendapat penyertaan seramai 1,200 orang belia daripada 240 pasukan.

Progam anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dan Sesa yang bermula sejak 4 Disember lalu telah berakhir 27 Disember lepas menyaksikan sepuluh pasukan berentap dalam aksi akhir.