BARU-BARU ini, berita luar negara memaparkan penurunan populasi di kota besar di Amerika Syarikat (AS) terutama New York.

Penurunan populasi disebabkan penduduk di kota tersebut mengambil keputusan berhijrah ke luar bandar dan kawasan pedalaman.

Selain itu, ancaman wabak Covid-19 memaksa ramai syarikat mengambil keputusan drastik iaitu bekerja dari rumah.

Oleh itu, ia telah membuka mata penduduk bandar untuk berhijrah ke luar bandar bagi melaksanakan tugasan dari jauh.

Kadangkala ramai terfikir buat apa duduk di apartmen dengan sewanya beribu-ribu ringgit, tetapi pekerjaan mampu dilakukan di mana-mana sahaja.

Sebelum itu, kita juga pasti pernah mendengar ‘digital nomad’ atau dikenali pekerja nomad digital.

Golongan ini melakukan apa sahaja pekerjaan di mana-mana tempat asalkan mempunyai kemudahan Internet.

Pindah ke pedalaman Ini menyebabkan ramai mengambil keputusan meninggalkan bandar untuk hidup di kawasan yang jauh lebih tenang.

Ancaman wabak Covid-19 merancakkan lagi penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar untuk mendapatkan suasana yang tenang dan damai.

Ini dinamakan gaya hidup baharu ketika era Revolusi Industri 4.0 yang memudahkan masyarakat bekerja di mana-mana tempat.

Oleh itu, kita jangan hairan kenapa sesetengah negara memberi fokus kepada pembangunan luar bandar dan pedalaman tanpa mengganggu ekosistem alam.

Cukup dengan sekadar kemudahan jalan raya, air, elektrik dan Internet untuk memudahkan penduduk melakukan urusan seharian.

Penduduk pada masa hadapan mahu kehidupan yang lebih tenang dan selesa dengan bantuan teknologi digital dan kecerdasan buatan pintar (AI).

Mengubah masyarakat Teknologi hijau juga semakin berkembang pesat pada masa hadapan disebabkan menjadi keperluan masyarakat pada ketika itu.

Masyarakat juga lebih menghargai keindahan alam semula jadi, berbanding terus menjadi rakus merosakkan alam sekitar.

Kita perlu sedar ancaman Covid-19 mengubah 360 darjah bukan sahaja kehidupan, malah pemikiran masyarakat itu sendiri.

Masyarakat menjadi sedar segala pemikiran dan gaya kehidupan lama tidak dapat dipraktikkan lagi.

Kita memerlukan sesuatu yang lebih baharu dan inovatif untuk terus berdaya saing dalam dunia digital nanti.

Berterima kasih dengan kemajuan pesat teknologi yang menjadikan segala mustahil kepada sesuatu yang nyata.

Namun sebagai pengguna kita hendaklah bijak memanfaatkannya.

Ini kerana tersalah guna pasti akan membawa padah, bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga keluarga, masyarakat, malah negara.