ULU SIMUNJAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg meluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta untuk membina jalan raya baharu yang akan menghubungkan kawasan Gedong ke Lebuh Raya Pan Boneo di kawasan Balai Ringin melalui Ulu Simunjan.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, jalan raya baharu itu akan menghubungkan Gedong melalui Kampung Batu Pengansah, Kepayang dan ke Kedumpai, manakala dari belakang Batu Pengansah jalan raya baru itu akan menuju ke Bukit Punda di kawasan Balai Ringin.

Katanya, apabila jalan raya baharu ini siap kelak ia akan memendekkan perhubungan penduduk dari Ulu Simunjan yang hendak ke Gedong, Serian, Kuching dan Samarahan.

Selain itu, katanya, laluan ini akan memudahkan penduduk Gedong yang hendak pergi ke Ulu Simunjan malah terus ke Balai Ringin dan sekitarnya.

Menurutnya, dengan jalan raya baharu ini juga penduduk dari Ulu Simunjan tidak perlu melalui Pekan Simunjan untuk ke Gedong, Serian malah ke Kuching dan Kota Samarahan, sebaliknya boleh menggunakan jalan raya baharu ini yang jaraknya dari Ulu Simunjan ke Gedong hanya 35 kilometer.

“Jalan raya ini kelak bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah memudahkan penduduk dari Ulu Simunjan mengangkut hasil tanaman dan perusahaan masing-masing ke pasaran yang berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2021 di Kampung Tinting Tuba malam Jumaat lalu. Hadir sama ialah Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap, mantan Temenggong, Anthony Nyipak dan Penghulu Mohd Najib Arbi yang juga selaku pengerusi jawatankuasa pengelola majlis.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baharu 2021 kepada mereka yang meraikan Hari Krismas, Mohd Naroden yang juga Adun Gedong berharap tahun baharu 2021 akan membawa lebih banyak pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan Gedong termasuk di Ulu Simunjan dan Pangkor.

Menurutnya, sepanjang wabak Covid-19 berlaku, ramai penduduk kehilangan pekerjaan apabila pejabat atau kilang tempat mereka bekerja terpaksa ditutup.

“Wabak Covid-19 telah banyak memberi kesan buruk dan mengubah cara hidup manusia kepada norma baharu,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Naroden telah menyampaikan empat cek replika bernilai RM300,000 melalui RTP Dun Gedong dan RM200,000 daripada Unifor untuk Gereja St Mark Chapel Gayau, manakala peruntukan RTP Dun Gedong RM300,000 untuk Gereja SeventhDay Adventis (SDA) dan peruntukan Unifor RM100,000 untuk Gereja SDA Kepayang