KUCHING: Polis Sarawak akan merujuk Bukit Aman untuk menghantar pasukan ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes lari dua lelaki disyaki terbabit penyeludupan dadah di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, pasukan itu akan bertindak mengumpul maklumat berhubung kedua-dua suspek sama ada masih berada di kawasan Sarawak atau sudah masuk ke Indonesia.

Tambahnya, tindakan mengesan mereka (suspek) bagaimanapun kini masih giat diteruskan di kawasan sempadan berhampiran Kampung Paoh.

“Setakat ini hasil maklumat awal daripada pasukan risikan yang kita peroleh mendapati identiti kedua-dua suspek dipercayai warga Indonesia.

“Kita masih lagi membuat risikan dan memohon pasukan antarabangsa Bukit Aman untuk membantu membuat siasatan,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Kedua-dua suspek antara tiga individu lelaki yang melarikan diri selepas kenderaan Bezza dinaiki mereka diserbu sepasukan anggota dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching ketika membuat rondaan di sempadan berhampiran Kampung Paoh pada Sabtu.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemui dadah jenis syabu dan estacy masing-masing dianggarkan bernilai RM135,000 dan RM585,480.

Sementara itu, Fisol mengesahkan salah seorang suspek iaitu warga Indonesia berusia 19 tahun yang berjaya ditahan ketika serbuan kini dikenakan tahanan reman sehingga 2 Januari 2021.

Beliau pada masa sama mendedahkan bahawa sindiket membekalkan dadah ke Indonesia dengan menggunakan modus operandi menerusi sempadan Malaysia-Indonesia bergiat aktif bermula Oktober lalu berikutan mendapat permintaan tinggi daripada negara jiran.

Selain itu katanya modus operandi digunakan suspek iaitu menggunakan kereta sewa untuk memasuki sempadan sebelum dipercayai bertindak membawa bekalan dadah masuk menerusi jalan tikus di kawasan sempadan.

Untuk kes tangkapan itu katanya ia bukanlah satu permintaan yang kecil namun jumlah kesemua dadah itu mampu menampung lebih 60,000 orang penagih.