KUCHING: “Ada ‘smartass’ di dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang cuba menjadi lebih bagus daripada menteri,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang nyata tidak gembira terhadap tindakan JPBN sehingga menimbulkan kesulitan kepada penyanyi terkenal negara, Dayang Nurfaizah.

Ia apabila artis kelahiran Sarawak itu yang dijemput sebagai penyanyi undangan utama untuk Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 Peringkat Sarawak, yang dijadual pada Khamis ini telah dikenakan ujian calitan Covid-19 untuk kali kedua dan dikuarantin ketika memasuki negeri ini walaupun sudah diberi kelonggaran.

Menjelas lanjut, Karim berkata telah mendapatkan kebenaran daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas agar Dayang diberi kelonggaran daripada prosedur operasi standard (SOP) untuk memasuki Sarawak.

“Prosedur untuk kes khas ialah mereka boleh berada di sini bagi tempoh 72 jam tanpa dikuarantin tetapi mesti menjalani ujian calitan sebelum masuk.

“Beliau (Dayang) sudah menjalani ujian calitan pada 25 Disember lalu namun apabila sampai di sini semalam (Isnin), kena calit lagi dan dikuarantin…Bagaimana anda boleh dicalit dua kali dalam tiga hari,” katanya yang kemudian menyatakan permohonan maaf kepada Dayang berhubung kesulitan yang berlaku.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 Peringkat Sarawak di Stadium Perpaduan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Sharkawi Amit.

Mengenai Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 Peringkat Sarawak, Karim berkata acara ini akan berlangsung di Stadium Perpaduan dan hanya akan dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang tetamu undangan sahaja dengan SOP yang ketat.

Katanya acara yang penuh dengan hiburan dan persembahan oleh artis-artis terkenal tanah air ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook TV Sarawak dan UKAS bermula jam 8 malam supaya semua rakyat Sarawak dapat menonton rancangan itu.

“Pertunjukan bunga api juga akan dibuat di luar stadium genap jam 12 tengah malam.

“Kita ingin menyambut tahun 2021 secara besar-besaran dengan harapan ia menjadi tahun yang lebih baik,” katanya.