BINTULU: Persatuan Melanau Bintulu (PMB) pada Mesyuarat Agung Tritahunan mengesyorkan penambahbaikan terhadap syarat pengeluaran geran tanah untuk lot rumah kediaman. Yang Dipertua PMB, Samsuddin Abdul Razak berkata, ia sebagai menyahut seruan dan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu memastikan rakyat khususnya golongan B40 memliki tanah dan rumah.

Katanya, dengan adanya geran tanah di tangan pemilik yang belum memiliki kediaman, membolehkan golongan terlibat mencagarkan tanah bagi mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan.

“Ini akan mempercepatkan pemilik tanah untuk memiliki kediaman sendiri, berbanding dengan keadaan sekarang,” ujarnya pada Makan Malam PMB di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

RESOLUSI… Samsuddin Abdul Razak menyerahkan resolusi Persatuan Melanau Bintulu kepada Talib Zulpilip

Pada mesyuarat tersebut, PMB turut memohon kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan agensi berkaitan memberi keutamaan terhadap permohonan penduduk asal (Va’ie) dan tempatan dalam pemberian lot tanah untuk kediaman.

Rasionalnya, permohonan tersebut kerana masih terdapat ramai lagi keluarga dalam kalangan penduduk asal (Va’ie) tidak mempunyai lot atau tanah bagi tujuan kediaman.

Justeru, mewakili penduduk asal Va’ie, PMB katanya, memohon pertimbangan dan keprihatinan Kerajaan Sarawak menerusi BDA selaku agensi pelaksana untuk memberi keutamaan dalam pemilihan dan pemberian lot tanah berkenaan.

“Tambahan hampir 90 peratus golongan ini merupakan yang terdiri daripada kumpulan B40 yang perlu dibantu dan diberi keutamaan,” jelasnya lagi.

PMB turut mencadangkan pembinaan lebih banyak lagi rumah mampu milik untuk golongan B40. Rasionalnya cadangan ini ekoran harga rumah di bandar Bintulu yang mahal dan menyukarkan golongan terbabit (B40).

“Kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga nelayan, petani, pekerja am dan kakitangan kerajaan dan swasta peringkat bawahan,” ujarnya lagi.

Menurut Samsuddin, pihaknya memohon pertimbangan syarikat yang bertanggungjawab dalam pembinaan Loji Petrokimia (Petchem) memberi keutamaan kepada penduduk tempatan mengisi pelbagai jawatan bersesuaian berdasarkan pengalaman dan pendidikan.

Ini tambahnya, bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat dalam projek pembangunan loji petrokimia yang sedang rancak dijalankan di kawasan Perindustrian Tanjung Kidurong. Samsuddin, menyerahkan resolusi PMB kepada Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip.