KUCHING: Penduduk Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) akhirnya boleh menarik nafas lega setelah dapat menikmati Internet berkelajuan tinggi menerusi perkhidmatan Unifi oleh Telekom Malaysia (TM).

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelancaran perkhidmatan fasa pertama merangkumi tiga kampung berkenaan manakala bagi fasa kedua dan ketiga, ia akan diperluaskan ke seluruh kawasan seberang hilir sehingga ke Kampung Bintawa Hilir.

“Dengan adanya kemudahan gentian optik tersebut, pelbagai lapisan masyarakat dapat menjalankan urusan seharian termasuk pendidikan, pemasaran perniagaan dan melayari Internet secara lebih pantas.

“Sekarang kawasan kita sudah ada Internet berkelajuan tinggi yang dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh penduduk tempatan BGS dan kampung sekitarnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Unifi di Tebingan Sungai BGS pada Ahad.

Tambahnya, TM Sarawak juga merancang membangunkan infrastruktur Unifi di perumahan Darul Hana namun penduduk perlu memohon perkhidmatan Unifi.

“Justeru, saya mendapatkan kerjasama TM untuk menyediakan infrastruktur di kampung ini,” katanya. Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai memaklumkan, hampir 80 peratus konstituensinya mempunyai Internet berkelajuan tinggi melalui perkhidmatan Unifi.

“Kita berasa bangga dapat memperoleh perkhidmatan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat. “Ia bukan sahaja dapat dicapai di bandar malah turut dicapai di kawasan lain di Dun Pantai Damai termasuk kawasan Santubong dan Telaga Air.

“Justeru, saya amat mengalualukan kemudahan ini sebagai usaha berterusan TM untuk membawa sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi di Sarawak,” katanya.

Katanya, penularan pandemik Covid-19 menyebabkan Internet kini menjadi keperluan utama masyarakat bagi menjalani kehidupan seharian.

“Sejak dunia dilanda wabak Covid-19, Internet menjadi keperluan masyarakat bagi menjalankan urusan seharian terutamanya di sini, banyak perniagaan yang memerlukan Internet berkelajuan tinggi.

“Justeru, saya sarankan penduduk kampung terutama usahawan muda di sini menggunakan perkhidmatan ini bagi mempromosikan produk ke pasaran luar apatah lagi kita mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan,” ujarnya.

Turut hadir, Pengurus Besar TM Sarawak Jafer Sadiq Abdul Lathiff dan Pegawai Daerah Kuching, Awang Yusuf Awang Mostapha.