MEMASTIKAN kehidupan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan tenang, aman dan harmoni merupakan satu tugas yang amat penting bagi mana-mana kerajaan dalam menunjangi pemerintahan.

Toleransi kaum sangat penting kerana ia melibatkan emosi, maruah dan nilai bangsa tertentu.

Malaysia khususnya adalah negara yang memiliki kepelbagaian bangsa.

Melayu, Cina, India serta kaum-kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak mewarnai kepelbagaian ini.

Untuk memacu negara agar terus bergerak dinamik asas yang paling penting ialah kestabilan dan keamanan.

Ini adalah aset penting bagi menarik pelabur asing, sekali gus membawa peningkatan ekonomi dalam pelbagai industri di Malaysia.

Dalam erti kata lain penyatuan rakyat amat penting.

Namun apa yang berlaku sejak lima atau enam tahun kebelakangan ini, soal perpaduan agak kurang diberi perhatian.

Apatah lagi ketika perkembangan dunia komunikasi tanpa sempadan menerusi media sosial yang berkembang bebas memudahkan warganet meluahkan apa sahaja yang ingin diperkatakan tanpa sebarang tapisan.

Biasanya penulisan dan perbahasan terhadap sesuatu isu sering melibatkan kaum, bangsa dan agama.

Ini menyebabkan berlakunya polemik yang tidak berkesudahan dan cacian serta makian akan berterusan tanpa noktah.

Isu-isu sebegini sering kelihatan dalam setiap posting berbaur politik, sosial budaya dan keagamaan.

Warganet yang berbeza pandangan dan fahaman politik mudah terjerumus untuk berpartisipasi dalam berperang mulut di alam siber.

Maka wujudlah apa yang digelar cybertrooper atau askar maya bagi menegakkan “kebenaran” pihak yang diwakili.

Adakah ini sesuatu yang dibanggakan? Atau diukur sebagai kematangan rakyat?

Tepuk dada tanya selera.

Yang pasti gambaran ini bukan sesuatu yang indah bagi negara yang mengimpikan Malaysia sebagai sebuah tanah air yang penuh harmoni, aman dan damai.

Sarawak sering disebut contoh, sebagai sebuah negeri yang mengamalkan toleransi.

Malah Kuching pernah dinobatkan sebagai Bandar Raya Perpaduan oleh United Nation pada 2017 kerana amalan terbaik melalui keharmonian kaum yang diiktiraf oleh badan dunia itu untuk dijadikan contoh kepada negara-negara membangun yang lain.

Walaupun demikian, apabila wujud polemik perkauman dan keagamaan, kadangkala masyarakat di Sarawak turut terasa cubitannya.

Perbahasan tentang kewajaran mengucapkan Selamat Hari Krismas, contohnya menjadi perbahasan bermusim di media sosial setiap kali tiba bulan Disember.

Maka akan terbitlah komen-komen yang tidak molek dibaca sama ada daripada pihak yang menyokong mahupun yang menentang.

Semua ini menjadi kerisauan rakyat yang takut trend saling membenci yang dimulakan oleh segelintir pihak boleh bertindak menjadi minyak yang memarakkan emosi kebencian.

Sejarah peperangan saudara di dunia dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini banyak dimulakan dengan faktor kebencian melampau.

Kita pasti ingat apa yang berlaku terhadap Bosnia Herzegovina yang melibatkan tiga puak utama iaitu Serbia, Croatia dan Bosnia.

Bayangkan semasa berada di bawah kesatuan Yugoslavia ketiga-tiga puak ini hidup aman damai dan berjiran.

Apabila timbulnya perpecahan mulalah ahli politik yang berkepentingan menyebarkan kebencian.

Pemimpin Serbia, Ratko Mladic pernah mengatakan “hari ini kami berjaya menumpaskan ottoman “(merujuk kepada khalifah Ottoman) selepas menawan bandar Serbrenica dan membunuh 6,000 orang Bosnia dan Croatia di sana.

Lihatlah dendam ratusan bangsa turut diungkit demi mahu mencapai matlamat bernegara dengan membunuh rakyat yang dahulunya hidup rukun damai.

Di Rwanda, pergaduhan puak Hutu dan Tutsi yang berlaku selepas peralihan kuasa pemerintahan turut melibatkan kebencian kepada kaum-kaum tersebut sedangkan agama yang dianuti mereka ialah sama iaitu Kristian.

Ternyata sifat superior terhadap kaum lebih tinggi daripada kepatuhan terhadap anutan agama.

Saya sangat terharu kerana di Sarawak masih ada rasa hormat terhadap perbezaan agama dan budaya.

Bagaimana Indai Aga yang sanggup menempah mi goreng daripada Mak Dayang untuk menjamu tetamu Krismas di rumahnya, cukup membuktikan bahawa rasa hormat dan bertolak ansur masih diamalkan dengan baik di sini.

Oleh itu, saya berharap agar negara kita secara amnya dan rakyat Sarawak secara khususnya mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku di negara-negara tersebut.

Keamanan adalah terlalu mahal dan keharmonian sangat bernilai untuk dimusnahkan hanya kerana sikap saling membenci dengan isu-isu remeh yang sepatutnya boleh diulas dengan bijaksana, bukan dengan api kebencian.

Ingat pesan Tok Nan, jaga Sarawak bait-bait… sebenarnya ditujukan buat setiap rakyat yang bernafas di bumi ini kerana ahli politik boleh berubah… tetapi rakyat selamanya tetap rakyat.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.