KUCHING: Empat individu lelaki termasuk perancang utama sindiket pecah kedai dan curi akhirnya berjaya dikesan sebelum ditangkap Jabatan Siasatan dan Jenayah Sarawak pada 15 Disember (Selasa) yang lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek dikenal pasti hasil risikan awal maklumat kes aktif semenjak Jun lalu sebelum serbuan tangkapan dilakukan terhadap mereka pada sebelah malam di sekitar kawasan Kuching.

“Tangkapan melibatkan dua pekerja pengawal keselamatan yang bertugas di syarikat swasta di Kuching manakala dua daripadanya tidak bekerja.

“Kesemua suspek masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Dedahnya, turut dirampas barangan curi berupa alat ganti motosikal dan alat gunting rambut dianggarkan bernilai RM23,000.

Antara barangan tersebut termasuk tujuh rim motosikal, dua unit swing arm, dua unit pam brek master jenis Brembo, dua ekzos motosikal, satu set racing, dua mesin pemotong rambut, lima bilah gunting rambut dan sebilah pisau cukur.

Tambah Fisol, modus operandi kegiatan ini dilakukan dengan membuat intipan menggunakan kereta sewa terlebih dahulu sebelum salah seorang daripadanya memotong kunci mangga.

“Selepas itu, beberapa orang akan masuk ke kedai manakala salah seorang penjenayah akan bertindak sebagai pemerhati di luar kedai.

“Kumpulan ini mengambil masa lebih kurang tiga hingga lima minit untuk melakukan pecah kedai dan curi sebelum menyembunyikan diri bersama barangan hasil curi,” jelasnya.

Tambahnya, semakan rekod polis turut mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod kesalahan narkotik dan kecurian motosikal.

Beliau selain itu mendedahkan pihaknya kini sedang giat mengesan empat lagi suspek dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

Dedahnya, hasil tangkapan itu berjaya menyelesaikan lapan kes pecah kedai dan curi di Kuching dan satu kes sama di Padawan.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara sampai 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua atau seterusnya.