ULU SIMUNJAN: Masyarakat Iban di kawasan Ulu Simunjan di Dun Gedong menghargai dan memuji mutu perkhidmatan yang ditunjukkan Pegawai Daerah Abdul Khalid Manap serta semua kakitangannya dalam membantu membangunkan kawasan Ulu Simunjan sejak beliau berkhidmat di daerah ini enam tahun lalu.

Penghulu Masyarakat Iban di kawasan Ulu Simunjan, Mohd Najib Arbi berkata, Abdul Khalid serta pasukannya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam perkhidmatan awam.

Katanya, sejak mula berkhidmat di Daerah Simunjan, Abdul Khalid sentiasa mahu supaya misi dan visi dalam membantu pemimpin kerajaan membangunkan kawasan ini terus dilaksanakan dengan jayanya.

Menurutnya, Abdul Khalid serta pasukannya bukan sahaja komited dalam menjalankan tugas, malah beliau sentiasa disenangi oleh semua masyarakat di kawasan ini kerana sikapnya yang peramah dan suka bergaul dengan semua penduduk.

“Ketua masyarakat Iban di Batang Kiri Ulu Simunjan dengan ikhlas hati menyampaikan sijil penghargaan sebagai menghargai prestasi cemerlang Abdul Khalid Manap sepanjang berkhidmat di Daerah Simunjan termasuk di Ulu Simunjan.

“Kami berharap sijil penghargaan ini akan terus memberikan semangat lebih tinggi kepada Abdul Khalid serta semua pegawai dan kakitangan di Pejabat atau Majlis Daerah Simunjan dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Mohd Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alualuan pada majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2021 di Kampung Tinting Tuba di sini baru-baru ini.

Tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Muda Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan merangkap Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.

Sementara itu, Abdul Khalid Manap menjelaskan kejayaannya dalam melaksanakan tugas membantu membangunkan Daerah Simunjan termasuk Gedong dan Ulu Simunjan banyak terletak kepada kerjasama yang diberikan oleh semua ketua masyarakat di daerah ini.

Katanya, sebagai pegawai dalam perkhidmatan awam sememanya telah menjadi tanggungjawab beliau untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik bagi memastikan tugas yang diamanah dapat dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua ketua masyarakat di Daerah Simunjan terus mengukuhkan kerjasama dan sefahaman dengan kerajaan dalam merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing.