TAHUN 2020 sepatutnya tahun untuk melihat hasil Wawasan 2020 dalam mencapai kemajuan negara. Kebetulan pula pencetus Wawasan 2020 ialah Tun Dr Mahathir, ketika itu menjadi Perdana Menteri Kelima.

Kebetulan pula Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh selama 22 bulan sehingga Februari lalu.

Jadi tentunya ia begitu menarik untuk diperhatikan. Namun wawasan itu dianggap kurang berjaya.

Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri dan kemudian dilantik semula sebagai Perdana Menteri interim.

Beliau mahu mewujudkan pula kerajaan perpaduan melibatkan ahli Parlimen tanpa mengira parti yang diwakili.

Setelah ditolak kebanyakan ahli Parlimen, nama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri Kelapan.

Setelah dipanggil dan bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong, nama Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Sekali lagi Anwar berputih mata, sementara percaturan Dr Mahathir gagal.

Kemudian, timbul pula dakwaan kerajaan Muhyiddin dianggap sebagai dakwaan tebuk pintu belakang.

Sorong tarik ahli Parlimen semakin menjadi-jadi semata-mata untuk menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaannya.

Bersyukur usaha itu tidak menjadi kenyataan kerana negara turut diancam virus korona dan kemudian digelar Covid-19.

Negara memerlukan sebuah kerajaan untuk mengurus banyak hal – keutamaan adalah kesihatan rakyat.

Negara kemudian sunyi daripada politik panas – perebutan jawatan Perdana Menteri kerana tumpuan adalah untuk memutuskan penularan virus tersebut.

Mungkin kita masih ingat bagaimana takutnya negara akan virus ini.

Langkah awal terpaksa diambil iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan.

Ia bermula 18 Mac, sekali gus hidup rakyat berubah 360 darjah.

Semua rakyat diarahkan duduk di rumah, tidak boleh keluar kecuali untuk mendapatkan bekalan makanan, rawatan serta urusan penting.

Sekolah ditutup yang memaksa pelaksanaan pembelajaran secara maya.

Sektor kerajaan dan swasta juga melaksanakan konsep kerja dari rumah bagi mengelakkan jumlah yang ramai berada di sesuatu kawasan.

Pergerakan di setiap sempadan daerah disekat. Ibarat hidup semasa darurat – kata mereka yang pernah hidup dalam zaman darurat dahulu.

Bagi membantu rakyat, pelbagai bantuan diberikan iaitu Prihatin daripada Kerajaan Persekutuan dan BKSS daripada Kerajaan Sarawak.

Bantuan masih diberikan hingga ke hari ini.

Semuanya bagi memastikan ada makanan di atas meja.

Ini termasuk kebenaran menangguhkan pembayaran dengan bank – moratorium.

Petugas barisan hadapan pula mendapat pengiktirafan daripada kerajaan dan rakyat.

Kakitangan perubatan menggunakan segala kepakaran merawat rakyat yang dijangkiti virus, kakitangan keselamatan pula mengawal pergerakan rakyat serta pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Semoga kehidupan tahun 2021 yang bermula Jumaat ini akan terus bersinar.

Dengan adanya bekalan vaksin yang dijangka diperoleh seawal suku pertama 2021 akan dapat mengembalikan kehidupan rakyat seperti biasa.

Apa-apa pun, 2020 adalah tahun yang mencabar dan 2021 diharapkan dunia terus bebas virus pembunuh.