TIDAK banyak yang tahu bahawa Bau merupakan wilayah terkaya di Sarawak.

Di buminya tertanam deposit emas dan antimoni – yang menjadi nadi ekonomi Sarawak pada awal tahun penubuhannya.

Khamis ini, usia perlombongan di Bau diisytiharkan berusia 200 tahun. Ia mengambil kira era proses perlombongan yang berlaku di kawasan tersebut sejak 1820, apabila antimoni ditemui di kawasan Jambusan sebelumnya.

Berdasarkan rekod sejarah, menjelang tahun 1820, telah berlaku perebutan kawasan di sempadan Sarawak.

Kongsi atau kumpulan bawah tanah di Montrado (Kalimantan Barat) telah bertindak berebut kawasan dengan satu lagi komuniti kongsi di Pemangkat, yang sebelum itu lari dari Sambas.

Mereka ini kemudian menuju ke Sarawak, melalui Gunung Gumbang sebelum menetap di Pangkalan Tebang.

Di sinilah mereka ini, yang juga pelombong mahir menemui ketulan emas.

Gembira dengan penemuan ini, kumpulan ini kemudian menuju ke Gunung Mau San atau Bau Lama, dan di sini mereka menemui lebih banyak emas.

Berita tergempar ini kemudian bertiup kencang, menyebabkan semakin ramai pelombong Cina di kawasan Sambas dan Sanggau menuju ke lokasi tersebut.

Ketika inilah Liu Shan Bang, 30 tahun, yang berketurunan Hakka menjadi kumpulan terawal penghijrah mula menunjukkan bakat kepimpinannya.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua kepada perkumpulan kongsi-kongsi, yang dikenali sebagai Kongsi Dua Belas.

Kongsi Dua Belas begitu berpengaruh dan menjadikan Mau San sebagai pusat pentadbirannya.

Mereka malah memiliki bendera serta mata wang sendiri.

Selain Mau San, kelompok pelombong ini turut mendirikan beberapa penempatan kecil di Bidi, Paku dan Tondong.

Dianggarkan populasi mereka menjangkau lebih 4,000 orang, jauh lebih ramai daripada penduduk di bandar Kuching dan Lidah Tanah pada waktu itu.

Menurut pengkaji sejarah Dr Voon Jan Cham, perlombongan di kawasan ini berkembang begitu cepat.

Antimoni dari kawasan Jambusan sudah dikenali di pasaran Singapura, manakala sejak tahun 1820 hingga 1840, lombong emas di Bau telah menghasilkan pengeluaran sekitar 7000 auns atau 200 kilogram setahun.

Kerana itulah apabila James Brooke memerintah Sarawak pada 1841, tumpuan utamanya adalah untuk mendapat hak penuh dan monopoli terhadap pengeluaran hasil perlombongan ini.

Brooke kemudian melaksanakan peraturan dengan mengenakan ‘cukai palak’ berdasarkan populasi setiap kongsi serta mengharamkan sebarang pengimportan langsung dan perniagaan dengan negara lain berkaitan candu, arak dan keperluan lain.

Pentadbirannya juga melarang kongsi-kongsi yang menguasai lombong daripada mengeksport secara terus emas atau produk tempatan lain ke negara luar.

Pada 1856, Borneo Company Limited ditubuhkan dan diberikan hak eksklusif untuk menjayakan hasil galian yang lain.

Ketika ini komuniti Cina di kawasan ini telah meningkat menjangkau 10,500 orang dengan lebih 1,000 daripada mereka, sama ada berniaga, atau menjadi pelombong.

Menurut See Lee Yong Leng (1970), di Bau sahaja terdapat lebih 100 kedai, manakala komuniti Cina yang tinggal di sekitar lombong dianggarkan mencecah 4,500 orang.

Dikatakan, antara punca peningkatan mendadak ini, sekali lagi disebabkan penghijrahan kelompok besar dari Kalimantan Barat.

Ia terjadi apabila pada 1854 Kongsi Tykang yang berkuasa di sana ditumpaskan oleh pentadbiran Belanda, menyebabkan ribuan pelombong menjadi pelarian di Sarawak dan menyertai Kongsi Sam Tiao Kiou.

Meskipun kebanjiran pelombong Cina ini memakmurkan ekonomi Sarawak, namun tidak lama selepas itu mereka berhadapan detik hitam.

Mereka terlibat dalam penentangan menentang James Brooke dan penduduk Kuching pada 18 Februari 1857.

Menurut Dr Voon, terdapat beberapa insiden yang membawa kepada penentangan ini.

Ia bermula dengan denda berat sehingga 150 pound terhadap kongsi yang didapati bersalah menyeludup candu, yang kemudian menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

Candu amat diperlukan sebagai penenang selepas seharian penat melombong.

Justeru apabila harga mahal dan bekalan kurang, ia menzahirkan kemarahan. Selain itu, berlaku satu kes berkait dengan seorang wanita Cina dari Bau, Ah See Moi yang dikatakan telah berlaku curang dan bersembunyi di Kuching.

Suami dan 50 rakan pelombongnya kemudian dapat menjejak Ah See Moi dan menangkapnya, sebelum mengheretnya pulang ke Bau.

Mereka malah membelasah pemilik bot yang membantu wanita itu melarikan diri.

Ketua Polis Brooke, Middleton kemudian melakukan siasatan dan menangkap si suami dan dua rakannya.

Mereka dibicarakan, sebelum majistret Crooshank menjatuhi hukuman sebat.

Rasa tidak puas hati dalam kalangan pelombong ini membuak hingga mencetuskan penentangan.

Dua pemimpin mereka, Liu Shan Bang dan Wang Jia kemudian memimpin penentangan.

Lebih 600 pelombong terlibat dalam penentangan tersebut bermula dari Tondong.

Mereka menaiki 30 perahu menuju ke Kuching dan tiba pada tengah malam.

Penyerang kemudian dipecahkan kepada dua pasukan iaitu satu pasukan menyerang James Brooke dan dua pegawainya di kawasan astana dan kubu, manakala serangan yang kedua di bangunan kediaman seberang sungai.

Dalam serangan tersebut, Residen Lundu Harry Nicolett yang baru berkhidmat dengan Brooke telah terbunuh.

Kerana menyangka beliau ialah Janes Brooke, kepalanya dipenggal dan diarak keliling pekan.

Tanpa pengetahuan mereka, James Brooke dan pembantunya Charles Panty telah berjaya meloloskan diri dengan terjun ke Sungai Bedil Kecil, sebelum menyelamatkan diri di perkampungan Melayu berdekatan.

Serangan yang memusnahkan beberapa kediaman ini turut mengorbankan beberapa mangsa lain, termasuk dua kanak-kanak berusia 4 dan 6 tahun.

Ketua Polis Middleton dan Majistret Crooshank berjaya melarikan diri namun isteri Crooshank terbunuh.

Pada siang harinya, Bishop Francis McDougall, Pengurus Borneo Company Limited LudwigHelms, peniaga Eropah Rupell dan Datuk Bandar Mohammad Lana diarah untuk menghadap Liu Shan Bang di bangunan mahkamah.

Di sini mereka diarah untuk memberikan kesetiaan kepada kerajaan baharu Kongsi Cina.

Helms dan Rupell diberi kepercayaan menjaga urusan komuniti Eropah, manakala Datuk Bandar menjaga kebajikan masyarakat Melayu.

Pun begitu, selepas mendapat tahu bahawa Rajah James Brooke masih hidup, Liu Shan Bang membatalkan hasratnya untuk terus memerintah Kuching.

Sebaliknya pada 20 Februari, akur kepada nasihat Bishop McDougall, mereka berundur ke Bau, tetapi dengan satu permintaan.

Mereka tidak mahu orang Melayu bertindak balas dan menyerang mereka.

Pada petang itu, mereka berundur dengan membawa bersama-sama harta rampasan, senapang, raifal dan peluru.

Biarpun Datuk Bandar Mohammad Lana berjaya menenangkan penduduk Melayu di kawasan pekan, namun tidak di kawasan hulu.

Ketika inilah Temenggung Mersal, Abdul Ghapor dan Abang Pata bertindak menyerang rombongan ini dan berjaya menawan beberapa perahu.

Keesokannya, pada 21 Februari, para pelombong ini menerima tambahan anggota dari Bau dan Lundu untuk membalas dendam. Mereka turut menawan Kubu Belidah dan membina pertahanan di Lidah Tanah.

Pada 22 Februari, pasukan ini menghilir ke Kuching dan bertindak membakar perkampungan Melayu di pekan.

Mereka menawan kembali kubu Brooke dan mengawalnya.

James Brooke yang berjaya meloloskan diri berusaha menuju ke Batang Lupar, tempat di mana anak saudaranya Charles Brooke memerintah.

Beliau meninggalkan Jenang menuju ke Lingga bagi mengumpul tentera upahan dalam kalangan Iban Skrang.

Ketika meninggalkan Lingga pada 23 Februari, beliau terserempak dengan kapal “Sir James Brooke” yang dilengkapi dengan beberapa laras meriam 16 pound.

Beliau kemudian menaiki kapal tersebut menuju ke Kuching.

Manakala Charles Brooke tiba kemudian dengan pasukan perang dalam kalangan pejuang Iban.

Setiba di Kuching, James Brooke melepas beberapa das tembakan menyebabkan saki baki pelombong ini lari ke dalam hutan, sebelum diburu oleh para pemburu kepala ini.

Yang lain bertempiaran lari menuju Lidah, Belidah, Siniawan dan Bau.

Brooke kemudian mengejar mereka.

Pada 26 Februari, kedua-dua pihak saling berbalas tembakan meriam di Lidah Tanah dan Kubu Belidah.

Pada 9 Mac, Brooke teringat akan denai yang ditemui Alfred R. Wallace ketika melawat Sarawak pada 1854 di bahagian belakang Lidah Tanah.

Tentera upahan kemudian digerakkan ke denai itu dan berjaya membunuh ratusan pelombong, termasuk membunuh Wang Jia, yang juga dikenali sebagai Bong Kap.

Pada 10 Mac, apabila masih gagal menawan Kubu Belidah, Brooke mencipta helah.

Beliau menawarkan pengampunan dengan memberi makan dan arak kepada para pelombong.

Kelompok pelombong ini menerima pelawaan ini tanpa curiga.

Pada malamnya, apabila hampir kesemua pelombong ini mabuk, mereka diserang secara mengejut.

Lebih 200 pelombong terbunuh dalam serangan ini, manakala yang lain melarikan diri ke Jugan, berhampiran Siniawan.

Di sinilah Liu Shan Bang yang mengetuai kubu kedua para pelombong ini terbunuh.

Bagi yang terselamat, mereka segera berundur ke Bau dan bersama-sama baki pelombong emas yang lain, petani dan keluarga mereka melarikan diri dengan berjalan kaki melalui Krokong, Pangkalan Tebang dan Gunung Gumbang, sebelum menuju ke Kalimantan Barat.

Kata Dr Voon, beberapa ratus wanita dan kanak-kanak, keluarga kepada pelombong yang terlibat dalam perang itu cuba bersembunyi di dalam sebuah gua di Bukit Young di Jambusan.

Namun kelibat mereka berjaya dihidu oleh tentera upahan Brooke, yang kemudian bertindak membakar mulut gua.

Ia mengakibatkan kesemua pelarian ini mati kelemasan.

Sehingga kini, kejadian ini cukup membekas dan gua ini dikenali masyarakat setempat sebagai Gua Hantu.

Pada 15 April 1857, Brooke mengisytiharkan pemberontakan pelombong Cina ini tamat.

Ia kisah duka di kawasan Kuching dan Bau.

Selain kematian orang Eropah dan Melayu, dianggarkan 3,500 masyarakat Cina, yang terdiri daripada pelombong, petani dan keluarga mereka terbunuh.

Hanya sekitar seribu orang yang terselamat, berdasarkan data yang dipetik seorang lagi sejarawan, Liu Pak Khui menerusi bukunya The rise and fall of the Chinese workers Kongsi of 19th Century’(1989).

Malah kisah ini juga dikatakan menjadi punca mitos beberapa nama kawasan seperti Bau, Buso dan Patingan.