KUCHING: Seorang aktivis Sarawak meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat semula langkah menempatkan orang Semenanjung Malaysia yang dibuang negeri ke kawasan luar bandar Sarawak dan Sabah.

Peter John Jaban berkata tindakan ‘membuang’ seorang penjenayah berat ke kawasan luar bandar adalah membawa bahaya kepada penduduk luar bandar yang hidup aman damai.

“Saya meminta Bukit Aman melihat semula dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk mengusir sesiapa sahaja yang didapati menimbulkan masalah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ia berikutan kematian seorang pemimpin masyarakat tempatan dalam pergaduhan di Beaufort, Sabah minggu lalu di mana suspek adalah orang Semenanjung yang dibuang negeri ke Sabah dan telah berkahwin serta menetap di kawasan itu. Dia dikhabarkan melarikan diri ke Lawas, Sarawak.

Peter turut menyifatkan dasar berkenaan sebagai bencana, di mana ramai penjenayah berat yang dihantar ke komuniti luar bandar telah membawa jenayah di kawasan terbabit.

“Aktivis di seluruh Sabah dan Sarawak menerima banyak laporan mengenai peningkatan penggunaan dadah dan gangsterisme dalam masyarakat luar bandar, terutama dalam kalangan belia,” katanya.

Menurutnya, suspek dalam kes berkenaan, Jimmy Black mempunyai tidak kurang daripada tujuh rekod jenayah antara 2003 dan 2004, sebelum dipenjara selama setahun pada 20007.

Dia kemudian dihantar ke Sabah untuk apa yang disebut ‘pemulihan’ namun polis secara terbuka mengakui bahawa dia tidak berada di bawah pengawasan polis sejak 2008, hanya satu tahun setelah dibebaskan.

Dalam kebanyakan kes ini, Peter berkata perintah ‘Buang Negeri’ atau ‘Buang Daerah’ dibuat sehingga penduduk tempatan tidak mengetahui bahawa penjenayah yang berbahaya telah dipindahkan ke kawasan mereka.

“Oleh itu, kajian semula mengenai tempat tinggal dan aktiviti semasa mereka perlu dibuat oleh pegawai polis yang berpengalaman dalam kes seperti ini,” katanya.