KUCHING: Menjual keropok di tepi jalan menjadi sumber pendapatan seorang ibu tunggal untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selepas kematian suaminya 30 tahun yang lalu, beliau meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga dan mendapat bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak.

Zaidah Jusni yang berniaga keropok di pengkalan feri Stunggang Lundu berkata, beliau mengayuh basikal untuk pergi berniaga seorang diri.

“Saya mengayuh basikal dari Kampung Stunggang Melayu sampai ke tapak berniaga lebih kurang satu kilometer perjalanan.

“Kalau hari hujan atau keadaan kaki saya sakit, baharu minta tolong anak-anak untuk hantar saya dan menghantar barang-barangan jualan,” katanya.

Menurutnya, beliau hanya mengantikan tapak perniagaan daripada orang lain dengan bayaran RM100 sebulan.

“Asalnya saya berniaga di seberang sungai, tetapi disebabkan terdapat pembangunan dan ditambah pula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya berhenti berniaga di situ dan berniaga semula di tempat ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada November,” ujarnya.

Walaupun sudah terdapat jambatan yang menggantikan feri, namun tarikan keropok di pengkalan feri stunggang masih mendapat perhatian pengunjung Zaidah berkata, semasa awal memulakan semula perniagaan, beliau hanya bermodalkan bantuan daripada kerajaan iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Saya kategori bujang, masa itu dapat RM250 terus saya membelikan keropok, kuih di kilang untuk dijual.

“Memang tidak mampu membeli dengan banyak tetapi tidak mengapa, pelanggan yang datang pun tidak ramai,” jelasnya.

Menurutnya, beliau terpaksa meneruskan perniagaan di gerai usang walaupun dilanda hujan ribut.

“Panas, hujan, ribut, angin kuat pun kita tetap berniaga.

“Kalau hujan dan angin terlalu kuat, terpaksalah saya letak ke belakang dahulu barang jualan kerana takut rosak terkena air.