KUCHING: Pelajar memerlukan panduan untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh menghubungi Pusat Khidmat Dun Pantai Damai bagi bantuan khidmat nasihat.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan seperti nasihat kewangan, panduan mendapatkan biasiswa, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.

“Sehubungan itu, pelajar dari Pantai Damai boleh menghubu-ngi kita untuk bertanya sebarang masalah yang dihadapi. “Kita turut membantu pelajar untuk menghantar permohonan mereka kepada pihak atau agensi berkaitan,” katanya.

Adun Pantai Damai itu berkata pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPT kawasan Pantai Damai di sini, pada Selasa..

Pada majlis tersebut, sejumlah 49 pelajar Pantai Damai bakal menyambung pengajian dan sedang belajar di pelbagai IPT seluruh negara menerima sumbangan berupa wang tunai.

Bercakap lanjut katanya, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan dan sumbangan disampaikan setiap dua hingga tiga bulan sebagai pengiktirafan kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran.

“Selain itu, jumlah pelajar dari kawasan ini yang berjaya melanjutkan pelajaran semakin bertambah setiap tahun berdasarkan peningkatan bilangan sumbangan yang diagihkan.

“Justeru, kita berharap terus dapat menjadi gedung melahirkan golongan bijaksana. “Sukar untuk kita melihat anak muda melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan atau keengganan ibu bapa melepaskan anak belajar di luar kawasan,” ujarnya.

Tambahnya, peluang melanjutkan pelajaran di IPT sepatutnya menjadi pembakar semangat untuk terus menempa kejayaan ke peringkat tertinggi.

“Kita tidak mahu melihat pelajar belajar separuh jalan disebabkan pengaruh luar atau masalah lain sebaliknya terus fokus kepada pengajian supaya tidak ketinggalan dalam arus pekerjaan,” ujarnya.