BAU: Kerajaan Sarawak akan meneroka ‘emas baharu’ dengan data raya di Bau dalam usaha membawa pembangunan dan mengubah daerah itu ke tahap baharu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ‘emas baharu’ itu adalah kepada pendekatan baharu dan projek pembangunan infrastruktur, bukannya sumber seperti antimoni dan perlombongan emas yang merupakan kegiatan ekonomi utama di Bau suatu ketika dahulu.

“Data yang diberikan oleh Jabatan Geologi telah mengesahkan bahawa daerah ini tidak lagi mempunyai simpanan emas.

“Ini bermakna tidak lagi deposit dan ia tidak dapat memberikan keuntungan, jadi tidak ada gunanya kita meneruskan industri yang tidak memberikan apa-apa faedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan 200 Tahun Sejarah Bau di Tasik Biru, di sini, hari ini.

“Jadi kita perlu mencari emas yang lain, sekarang ini banyak pihak menyatakan bahawa minyak sangat penting dengan sejarah perkembangan ekonomi, tetapi saintis mengatakan tidak.

“Sebaliknya adalah data raya maklumat iaitu era baharu pembangunan ekonomi.

“Dengan kata lain, apa data di Bau yang boleh berubah menjadi ‘emas baharu’ untuk daerah ini.

“Maknanya, kita harus berubah dengan mengumpulkan semua data termasuk sejarah, budaya, tarikan dan pembangunan di Bau yang dapat menjadi kegiatan ekonomi lestari serta memberi manfaat,” ujarnya.

Abang Johari Abang Johari mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyuntik sejumlah RM129 juta untuk membangunkan Bau dalam tempoh dua tahun lalu.

“Selain itu, Adun Tasik Biru Dato Henry Jinep telah mengemukakan beberapa projek pembangunan baharu dan ini akan menjadikan jumlah peruntukan untuk Bau berjumlah RM223 juta.

“Kerajaan Negeri juta memperuntukkan RM40 juta untuk menyediakan bekalan air dari Bau hingga ke Lundu dan Sematan,” katanya sambil menambah bahawa projek tersebut sedang dijalankan dan dijangka disiapkan pada 2021.