KUCHING: Polis Sarawak akan merujuk kepada Bukit Aman untuk menghantar pasukan ke Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes dua lelaki yang melarikan diri selepas disyaki terbabit penyeludupan dadah di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, pasukan itu masih me-ngumpul maklumat berhubung kedua-dua suspek sama ada masih berada di Sarawak atau sudah masuk ke Indonesia.

Tambahnya, tindakan mengesan suspek bagaimanapun kini masih giat diteruskan di kawasan sempadan berhampiran Kampung Paoh.

“Setakat ini, hasil maklumat awal pasukan risikan mendapati identiti kedua-dua suspek dipercayai warga Indonesia. “Kita masih lagi membuat risikan dan memohon pasukan antarabangsa Bukit Aman untuk membantu membuat siasatan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada Selasa.

Kedua-dua suspek antara tiga individu yang melarikan diri selepas kereta Bezza dinaiki mereka diserbu sepasukan anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching ketika membuat rondaan di sempadan berhampiran Kampung Paoh pada Sabtu.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemui dadah jenis syabu dan ekstasi masing-masing dianggarkan bernilai RM135,000 dan RM585,480. Fisol mengesahkan salah seorang suspek juga warga Indonesia berusia 19 tahun yang berjaya ditahan kini dikenakan tahanan reman sehingga 2 Januari 2021.

Beliau mendedahkan, sindiket membekalkan dadah ke Indonesia dengan menggunakan modus operandi menerusi sempadan Malaysia-Indonesia dan bergiat aktif sejak Oktober lalu berikutan mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

Selain itu katanya, modus operandi menggunakan kereta sewa untuk memasuki sempadan sebelum membawa dadah masuk menerusi jalan tikus di kawasan sempadan.

Untuk kes itu katanya, ia bukan satu permintaan yang kecil namun jumlah dadah yang dirampas itu mampu menampung lebih 60,000 penagih.