BETONG: Industri penternakan halal dalam negara perlu diperkasakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada daging import pada masa hadapan.

Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis) Dr Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, walaupun penguatkuasaan terhadap pengimportan daging dari luar negara semakin ketat, namun masih berlaku sedikit ketirisan dalam pelaksanaan.

“Pastinya kita tidak dapat menyalahkan siapa-siapa kerana ia melibatkan banyak pihak. “Justeru, sudah tiba masanya Malaysia berdiri sendiri untuk membudaya dan melestarikan industri penternakan haiwan halal di rantau Asia Pasifik.

Dr. Abang Ismail Abang Julhi

“Selagi kita mengimport daging dari luar negara, selagi itulah isu kartel daging haram yang hangat diperkatakan kini berlaku,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Katanya, penternakan halal yang disarankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Lakis ini melibatkan pembukaan industri tersebut di peringkat kampung, daerah, bahagian dan bandar-bandar negeri ini.

“Apa yang saya perhatikan khususnya di Sarawak kebanyakan penternak di kampung menjalankan aktiviti masing-masing secara kecil-kecilan dengan kadar pembelian yang rendah ekoran ia bermusim.

“Maka, mempertingkatkan kapasiti industri penternakan halal di Malaysia dilihat relevan bagi membendung isu kartel daging haram khususnya pada masa akan datang.

“Jika kementerian bertanggungjawab dapat meningkatkan usaha untuk mewujudkan industri penternakan yang mampan, kita yakin kebergantungan mengimport daging dari negara luar mungkin dapat dikurangkan atau dihentikan,” ujarnya.

Abang Ismail berkata, usaha kerajaan itu sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi para penternak.

“Ini penting pada masa ini lebih-lebih lagi dengan impak pandemik Covid-19, kerajaan harus memikirkan industri penternak desa supaya pendapatan mereka lebih konsisten,” jelasnya.