SIMUNJAN: Pengusaha inap desa disarankan bekerjasama dengan pemain industri pelancongan yang lain bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha ini penting untuk mempromosikan tempat menarik di kawasan mereka susulan industri itu terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Kerjasama antara pengusaha rumah inap desa dengan pemain industri seperti pemandu pelancong, ejen pelancongan dan pengusaha kraf tangan perlu dipergiat dan kumpulan ini tidak harus bekerja secara sendiri.

“Dengan kerjasama ini, ia dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi melalui pakej inap desa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penangguhan Program Pembangunan Komuniti di Dewan Mesra Simunjan di sini, pada Selasa.

Nancy berkata, ia akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada pelancong khususnya mengenai keunikan masyarakat di Sarawak.

“Selain bekerjasama dengan pemain industri, pengusaha rumah inap desa juga perlu bekerjasama dengan masyarakat kampung dalam usaha mempromosikan rumah inap desa.

“Sekiranya kawasan itu mempunyai rumah inap desa tetapi tiada tarikan dan kerjasama daripada masyarakat, ia tidak dapat membangunkan operasi rumah inap desa tersebut,” jelasnya.

Nancy mendedahkan pendapatan pengusaha inap desa amat terjejas berbanding sebelum ini terutama sebelum pembukaan pelancongan domestik. “Pendapatan pengusaha rumah inap desa ini sememangnya teruk terjejas semasa penularan Covid-19 pada tahun ini khususnya di kawasan pedalaman.

“Ia tidak seperti di kawasan Semenanjung Malaysia. Contohnya di Terengganu, pengusaha rumah inap desa masih dapat beroperasi kerana pelbagai aktiviti unik seperti menyelam, pergi ke pulau dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau turut meminta persatuan dan pengusaha rumah inap desa untuk mengadakan perbincangan bersama Motac dalam usaha membantu memulihkan perniagaan mereka.

Gambar faiI – Foto FB Hajah Nancy Shukri