KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden di Yaman pada Rabu yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah serta menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta-benda.

Kenyataan Kementerian Luar memaklumkan bahawa Malaysia turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan takziah dan bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan ini.

“Malaysia menolak segala bentuk keganasan yang menyebabkan ketidakstabilan dari segi keamanan serta keselamatan di rantau itu dan percaya dengan usaha positif yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Perjanjian Riyadh untuk membawa keamanan dan kestabilan di Yaman.

“Ini termasuk pembentukan kerajaan baharu Yaman baru-baru ini, yang tidak akan terjejas akibat serangan ganas pada 30 Dis. Sebaliknya, kemajuan ke arah keamanan di Yaman hendaklah disokong dan dikekalkan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Selain itu, Malaysia mengulangi sokongannya terhadap penyelesaian secara aman dan inklusif bagi konflik di Yaman, yang hanya boleh dicapai menerusi dialog serta rundingan berterusan.

Agensi berita antarabangsa melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam serangan di lapangan terbang itu sejurus selepas sebuah pesawat membawa kabinet yang baharu dibentuk serta disokong Arab Saudi mendarat.

— BERNAMA