KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif ke atas semua kontak bagi kes Rumah Uming, Sg. Mador, Meradong pada 30 Disember lalu, mulai hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), seramai 31 kontak rapat kepada kes ini telah dikenal pasti dan telah dimasukkan di pusat kuarantin di Sarikei dan Sibu bagi menjalani pengasingan dan kuarantin selama 14 hari setakat jam 12 tengahari tadi.

“Saringan pertama swab Covid-19 bagi ujian rT-PCR juga telah diambil dan dihantar ke Hospital Sibu untuk dianalisa.

“Setakat ini, kesemua ujian saringan masih menunggu keputusan manakala, swab saringan kedua pada hari ke-10 juga akan dilakukan sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah,” ujar kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Bahagian Sarikei dengan bantuan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei juga sedang melakukan saringan ke atas semua penduduk di Rumah Uming, Sg Mador bagi memastikan tiada penduduk telah dijangkiti.

“Anggaran jumlah penduduk yang akan disaring ialah seramai 120 orang.

“Saringan ke atas 11 orang penumpang yang menaiki penerbangan yang sama dengan kes yang sedang berada di Sarikei juga telah didapati negatif Covid-19,” katanya lagi.

Difahamkan, pengesanan ke atas semua kontak rapat lain kepada kes ini turut giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei.

Oleh itu, JKNS telah merakamkan penghargaan atas kerjasama dan bantuan dari semua agensi yang terlibat dalam aktiviti ini dan juga kerjasama semua penduduk di Rh. Uming, Sg, Mador semasa aktiviti pengawalan dan pengesanan kes secara aktif ini.