MINGGU ini trending di media sosial dan portal berkaitan kisah selebriti terkenal Neelofa Mohd Noor yang kononnya kahwin lari di Kelantan.

Lebih hebat, cerita itu disusuli dengan dakwaan kononnya Neelofa terkena ilmu penunduk sehingga sanggup memindahkan wang hampir RM100,000 ke akaun peribadi tunangnya selebriti pendakwah Mohd Harizz Ismail atau PU Rizz.

Kisah putus tunang, kisah cinta Neelofa mencapai hampir tiga juta perkongsian di Instagram dan hampir lima juta di Twitter.

Apa hebatnya sangat kisah cinta setengah jalan atau kes kahwin mahupun ilmu penunduk itu?

Sebab individu itu Neelofa, netizen dan peminatnya mahu tahu adakah Neelofa menangis, benarkah dia kahwin lari, apakah perasaannya, bahkan netizen sanggup membuat carian siapa PU Rizz dan latar belakang keluarganya.

PU Rizz pun bukan anak orang sembarangan.

Dia anak ahli agama juga tokoh korporat dalam membekalkan tenaga kerja di seluruh Malaysia berpangkat Datuk Seri.

Malah keluarga ini memiliki cawangan pembekalan makanan di seluruh negara.

Jadi, dakwaan Neelofa memberi bantuan kewangan hampir RM100,000 seminggu amat tidak logik.

Bagaimana pula dengan ilmu pengasih?

Tiada siapa dapat memberi jawapan yang betul atau tidak, kerana untuk menundukkan seorang wanita hebat sudah pasti memerlukan ilmu pengasih yang bukan calang-calang ilmunya.

Sebagai orang Islam, kita ditegah sama sekali mempercayai ilmu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri dan pegangan agama kita.

Tetapi tidak salah untuk kita sedikit terjentik hati untuk tahu adakah benar wujudnya ilmu pengasih?

Saya dan beberapa rakan pernah melihat dengan mata sendiri bagaimana hebatnya ilmu penunduk ini.

Akhir 1990-an, saya pernah menemani beberapa rakan pergi ke sebuah rumah yang agak jauh dari pusat bandar.

Jumpa Bomoh

Ya kami berjumpa lelaki kononnya bomoh.

Jalan berbukit kami redah dengan berkereta sambil mendengar tangisan kawan kami yang berhajat besar berjumpa bomoh.

“Bukan saya hendak membodohkannya. Saya mahu hilangkan panas baran. Hormat saya sebagai isteri,” katanya.

Kami sebenarnya sudah lali dengan ceritanya tetapi sebagai kawan, kami bertiga sanggup menempuh perjalanan hampir 90 minit dari Kuching.

Ikut logik akal, orang lelaki yang panas baran tidak memerlukan rawatan tradisional atau makanan tambahan mahupun berjumpa doktor perubatan.

Sikap panas baran itu terkunci rapat di dalam hati individu itu sendiri dan cuma dia yang mampu memecahkan lingkaran panas baran yang membelenggu dirinya.

Wanita mengangguk sambil menunjuk ke tangan ke pintu rumah.

Selang 5 minit, lelaki berusia akhir 50-an keluar tidak berbaju, cuma bertuala sahaja.

Siapa yang hendak berubat tanyanya.

Kawan kami angkat tangan.

“Ada gambar suami?”

Kawan kami memberi gambar suaminya ketika bersongkok yang siap dipotong segi empat.

‘Wak tolong hilangkan panas barannya. Biar dia sejuk sikit,” kata kawan kami.

Saya masih ingat dengan jelas, Wak mengambil gambar kemudian meletaknya di dalam sebuah bekas kecil seperti belanga.

Kemudian ditutupnya sebelum di letak di atas kemenyan yang sudah dibakar.

Wak kemudian mengasapkan belanga berkenaan sambil mulutnya membaca entah mantera atau bacaan lain.

Yang kami dengar dengan jelas – sedangkan harimau lagi tunduk inikan pula engkau wahai A…. (nama suami kawan kami).

Mengapa kami ingat sampai sekarang perkataan itu?

Kerana sejak itu, ayat berkenaan jadi mainan kami sambil bergurau walaupun kami sudah masing-masing berkahwin.

Berbalik kepada Wak, dia kemudian berpesan kepada kawan kami, balik rumah buat tidak tahu apa-apa berlaku.

Kata Wak, jangan hairan jika suami kawan kami bertukar watak selepas tiga hari.

“Tiga malam ini, Wak seru semangatnya.Masuk hari terakhir, dia akan berubah,” katanya.

Selepas peristiwa itu, pada hari ketiga berikutnya kami bertanya – apakah suami kawan kami sudah bertukar watak.

“Ya. Dia sekarang tidak marah-marah lagi. Cakap pun dengan suara perlahan,” katanya sambil diikuti dengan komen kagum kami.

“Benarlah Wak berjaya. Nanti saya hendak rawat abang saya yang suka pemabuk,” kawan kami seorang lagi menyampuk.

Waktu kami ketawa gembira, wajah kawan kami masih sendu. Kami beranggapan dia terlalu gembira kerana suaminya berubah sehingga selepas beberapa minit.

“Dia kemalangan motosikal bersama-sama teman wanitanya.

Kaki patah, muka bengkak sebab itu tidak banyak cakap.

Bukan kerana ubat Wak,” akhirnya dia bersuara.

Kami memujuknya dan berasa bersalah dengan apa-apa yang berlaku.

Namun sejak itu, nama Wak trending jadi bahan gurauan kami sehingga 19 bulan kemudian, awal 2001 kawan kami bercerai dan berhijrah ke Tangkak Johor.

Kini, kami masih mesra berhubung dan sejak itu kami yakin, ada benda di dalam diri lelaki yang wajib lelaki itu sendiri mengubahnya bukan orang lain seperti panas baran, pemabuk, suka main judi dan malas bekerja.

Ilmu Pengasih

Jadi kisah wanita hebat seperti Neelofa yang kononnya terkena ilmu pengasih cuma andaian netizen.

Memang wujud ilmu pengasih dan penunduk, tetapi terpulang kepada kita bagaimana menerimanya.

Sesungguhnya, sikap tamak manusia untuk memiliki itu tidak pernah puas, jadi tidak hairan ilmu pengasih, santau dan sebagainya masih diamal.

Yakin kepada diri sendiri tanpa perlu ilmu sokongan itu wajib.

Jangan sampai kerana terlalu percayakan ilmu tradisional, kita jadi seperti seorang ibu di Sibu, seperti yang berlaku minggu lepas.

Percayakan bomoh, anaknya jadi mangsa perkosaan.

Biarlah berpada-pada untuk percaya kepada alam mistik – kerana ia benar-benar wujud.

Namun, manusia yang mengambil kesempatan juga ramai wujud, jadi berhati-hati sebelum terkena oleh bomoh palsu.

Yakinlah, hidup kita bahagia kita, kita yang tentukan.

Bukan bomoh, bukan dukun bukan doktor sekali pun.

Kita berhak bahagia dengan cara apa-apa pun yang kita mahu.

Selamat Tahun Baharu 2021.