Gendang perang di Dun Opar

LOKALITI Dewan Undangan Negeri Opar cukup menarik.

Seindah kawasannya, ia terletak di kawasan paling hujung Sarawak, berkongsi lokasi dengan Dun Tanjong Datu.

Atas alasan geopolitik, kerusi ini berpecah-pecah di Daerah Sematan, Lundu dan Bau, dan berada di bawah Parlimen Mas Gading.

Dari sudut sejarah politiknya, kawasan ini (yang bercantum dengan Dun Tanjong Datu dan Tasik Biru, sebelum Dun Opar diwujudkan) melahirkan ramai tokoh politik terkenal.

Tidak kurang yang diangkat dengan status menteri muda.

Antaranya termasuklah Datuk Ramsay Noel Jitam; Dr Patau Rubis dan Datuk Dr Tiki Lafe.

Justeru itu, tidak hairanlah ia dinamakan sebagai antara kerusi utama dan panas masyarakat Bidayuh.

Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-12, kerusi ini sekali lagi akan menjadi ’tumpuan’ dan ‘panas’ .

Ini kerana ia satu-satunya kerusi Bidayuh di peringkat Dun yang tidak diwakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Lebih menarik, pada minggu lalu penyandang kerusi terbabit Datuk Ranum Mina secara sinikal menolak pelawaan ikhlas Datuk Seri Micheal Manyin Jawong untuk kembali ke GPS.

Beliau sebaliknya menegaskan untuk kekal bersama-sama partinya, Parti Sarawak Bersatu (PSB) baik pada waktu senang atau susah.

Malah beliau mahu terus berenang dengan perahu parti tersebut, dan sanggup karam dan lemas dengannya.

Ranum, 69 tahun, yang juga veteran tentera, merupakan Adun kawasan tersebut sejak kerusi N1 Opar diwujudkan akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri pada 2005.

Pada PRN Sarawak ke-11, Ranum yang bertanding atas tiket calon langsung BN memperoleh 3,607 undi untuk menewaskan Francis Teron Kadap Noyet daripada PKR yang sekadar meraih 1,548 undi.

Calon lain ialah Niponi Undek (Bebas) 1,386 undi dan ahli politik veteran Patrick Anek Uren (PBDS) 515 undi.

Dun Opar dalam pilihan raya tersebut memiliki 9,714 pemilih dan jumlah yang turun mengundi adalah sekitar 72.64 peratus.

Sebagai wakil rakyat yang berpengalaman luas, Ranum yang juga Naib Presiden Kanan PSB yakin beliau akan dikekalkan sebagai calon boleh menang PSB.

Kerana itu, beliau menolak dengan baik ajakan Manyin, sebaliknya memberi kiasan terbalik, mempelawa Manyin meninggalkan GPS.

“Namun sekurang-kurangnya saya berasa dihormati oleh pelawaan Manyin tersebut … bermakna PBB menghargai usaha saya selama ini.

Namun tidak parti asal saya, SUPP,” katanya lagi dengan sindiran diberikan kepada Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Ranum merupakan antara pemimpin kanan SUPP yang setia kepada Datuk Seri Wong Soon Koh yang mengumumkan keluar parti dan membentuk parti baharu, Teras pada 2014, sebelum sekali lagi mewujudkan parti baharu Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang akhirnya dijenamakan sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2018.

Manyin yang juga Naib Presiden Kanan PBB sebelum ini menyuarakan pelawaan tersebut dalam satu majlis di Serian, atas nama solidariti komuniti Bidayuh.

Kerusi Bidayuh kini diwakili lapan kerusi Dun namun satu daripadanya milik PSB.

Satu lagi kerusi yang turut dimiliki oleh PSB ialah Dun Mambong, namun penyandangnya, Datuk Dr Jerip Susil telah bertindak keluar parti dan mengumumkan menyertai PBB, apabila PSB sah tidak berada di pihak kerajaan.

Kerusi Dun N1 Opar agak menarik kerana kawasan tersebut diwakili oleh dua kelompok besar Bidayuh di kawasan Lundu-Sematan, iaitu Jagoi Bratak dan Salako Rara.

Komuniti ini tidak besar, dan hanya membentuk sekitar 12,000 penduduk, dengan kebanyakan komposisi penduduknya bekerja dengan kerajaan dan bertani.

Selepas keputusan yang diumumkan Ranum, persaingan kini terbuka luas, dan secara jelas pertembungan akan berlaku antara PSB dengan SUPP (GPS).

Siapa akan menentang Ranum? Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg secara terang-terangan berkata, oleh kerana kerusi itu dimenangi atas nama GPS, maka parti itu akan merebutnya kembali.

Ini memberi noktah kepada Ranum untuk menang selesa.

Perang besar pasti berlaku.

Siapa yang akan diturunkan oleh SUPP untuk melawan Ranum?

Menurut sumber, SUPP dikatakan telah menyerahkan sekurang-kurangnya dua nama kepada Abang Jo untuk penilaian.

Satu daripadanya ialah bekas lawan Ranum pada PRN yang lalu, Niponi Undek, yang kini menggalas tugas sebagai Pengerusi SUPP Opar dan Ahli Majlis Daerah Lundu. Niponi, 58 tahun, merupakan bekas Pengarah Kolej Kesihatan Awam di Kota Sentosa dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Awam daripada Unisel, selain Sarjana Pengurusan Alam Sekitar daripada Unimas.

Seorang lagi calon yang berpotensi ialah sepupu Niponi, Billy Sujang, 50, bekas Ketua Pegawai Persekitaran Negeri Sarawak yang kini menjawat Ketua Seksyen Kesihatan Awam, Persekitaran dan Penguatkuasaan di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

Difahamkan, kedua-dua calon ini telah turun padang sejak dua tahun lalu untuk mendekati penduduk.

Nama mereka sebenarnya pernah diangkat pada penggal lalu, namun Tok Nan yang memiliki kata pemutus waktu itu, masih mahu memberi muka kepada Ranum.

Namun mereka terus bergerak di kawasan dan tidak putus asa.

Yang pasti, siapa pun antara mereka yang akan dipilih, mereka perlu bekerja keras kerana dijangka kawasan ini akan menjadi medan pertempuran yang sengit.

Bagi pihak PSB, Ranum adalah maruah mereka, manakala bagi pihak SUPP/GPS – mereka perlu mencari calon berkaliber, muda, mesra rakyat dan mudah didekati.

Setakat ini tumpuan terarah kepada dua individu bersaudara ini.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak