Irama sape di Argentina

KUCHING: Kejayaan video muzik Alena Murang dan rakan sepasukannya Sarah Lois Dorai dan Gabriel Padan dalam Festival Video Muzik Buenos Aires 2020 di Argentina pada November lalu harus diiktiraf kerana berjaya membawa lagu dan budaya Sarawak ke pentas global.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya mempertimbangkan untuk menyokong inisiatif serupa pada masa akan datang supaya dapat membawa mesej yang kuat kepada dunia luar.

“Kejayaan video muzik Midang Midang yang dibawa pasukan ini sangat menggembirakan kerana mempamerkan kepelbagaian budaya dan identiti unik di negeri ini dari segi gaya, motif dan reka bentuk fesyen.

“Perkara ini merupakan satu penghormatan buat rakyat kerana memiliki seorang artis yang bermain sape seperti Alena dan berjaya menyampaikan mesej halus mengenai budaya, fesyen dan tradisi unik dalam video muzik menarik,” katanya.

Tambah Karim, lebih menariknya apabila aksesori dan pakaian ditampilkan Alena dalam video muzik yang dimenangi bagi kategori gaya video muzik terbaik daripada semua pereka fesyen tempatan dan pekerja kraf tangan tradisional Sarawak.

Beliau melahirkan rasa teruja apabila melihat video muzik yang diambil dari Tanah Tinggi Bario dan Pantai Tusau yang indah di Miri sekali gus menjadikan tarikan pelancongan.

“Video muzik yang luar biasa itu berjaya mengumpulkan 40,000 tontonan di Youtube dihasilkan oleh Film Creative Hub Project Room bersama Alena’s Kanid Studio yang dilancarkan pada 27 November tahun lalu.

“Projek itu juga mendapat sokongan Perbadanan Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Bandar Raya Miri (PKS),” jelasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak