Kelab Bintangor, Sarikei uji Kuching City FC

GABUNGAN pemain dua kelab handalan yang berpangkalan di Bintangor dan Sarikei berjaya memberi tentangan sengit pada aksi persahabatan kedua buat Kuching City FC di Kompleks Sukan Bintangor semalam.

Barisan pemain Saberkas Maradong yang turun pada separuh masa pertama tewas 8-0 kepada Kuching City FC.

Manakala, aksi separuh masa kedua pemain kelab Projek STR tewas 3-1.

“Perlawanan yang menghiburkan dalam dua situasi berbeza. Kita diberi tentangan yang cukup sengit terutama pada babak kedua,” ujar Penolong Jurulatih Kuching City FC, Ideris Untong ketika mengulas perlawanan semalam.

Ideris mengakui, perlawanan semalam memperlihatkan perbezaan ketara kerana pasukan lawan sudah bersedia untuk mengharungi aksi tersebut.

“Apa pun, syabas kepada pemain kedua-dua kelab terbabit kerana telah memberi komitmen yang cukup hebat sepanjang perlawanan,” tambah Ideris.

Pada aksi perlawanan esok (Sabtu) pemain Kuching City FC akan menentang kelab handalan dari Sibu di Padang Penjara Sibu.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak