Pekerja dan pemilik kedai cedera parah disamun empat lelaki bersenjata

KUCHING: Pemilik dan pekerja sebuah kedai serbaneka di Samariang ditemui berlumuran darah dan cedera akibat diserang oleh empat individu lelaki ketika mereka sedang menutup kedai, semalam.

Kejadian sekitar jam 10 malam itu bermula setelah seorang lelaki tiba-tiba datang lalu bertindak menumbuk pekerja kedai yang berusia 56 tahun.

Pemilik kedai, 43, melihat insiden di lokasi cuba meleraikan namun beliau diserang tiga lelaki lain yang seterusnya melakukan samun di dalam kedai.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani yang mengesahkan kejadian berkata mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan segera berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala.

Tambahnya, seorang lagi mangsa iaitu pekerja kedai yang telah bekerja di kedai itu selama tiga tahun mengalami lebam di bahagian mata kanan.

Sementara itu katanya pihaknya kini sedang giat mengesan empat individu terlibat kes bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada pihak polis, ” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

TERBARING… pemilik kedai masih dalam keadaan lemah akibat mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala

 

RAWAT… mangsa telah dibawa menggunakan ambulans untuk dihantar ke HUS
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak