Satu kes Covid-19 dikesan di Bintulu, hari ini

KUCHING: Terdapat satu kes baharu positif Covid-19 melibatkan seorang lelaki warganegara Filipina di kesan di Daerah Bintulu, hari ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Tan Sri James Jemut Masing berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,074 kes.

“Kes 1,074 tersebut telah masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kapal minyak dan gas di Bintulu.

“Kes telah masuk ke Malaysia dari Manila, Filipina ke Kuala Lumpur pada 13 November dan telah dimasukkan ke pusat kuarantin di Petaling Jaya bagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari bagi individu yang datang dari luar negara,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambahnya, ketika tempoh kuarantin kes telah menjalani saringan ujian rT-PCR pada 13 November dan didapati negatif Covid-19.

“Selain itu, kes juga telah menjalani ujian RTK Antibody pada 26 November yang juga didapati tidak reaktif untuk Covid-19.

“Pada 30 November kes telah meneruskan perjalanan ke negeri ini melalui penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Miri,” ujarnya.

Beliau memberitahu, apabila tiba di Miri kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin dan menjalani saringan ujian rT-PCR di
sebuah hospital swasta dan keputusan juga didapati negatif.

“Kes kemudian dilepaskan daripada arahan kuarantin dan dibenarkan meneruskan perjalanan ke Bintulu pada 5 Disember lalu.

“Semasa tiba di Bintulu, kes telah menginap di sebuah hotel sementara menunggu untuk ‘sign on’ ke kapal.

“Pada 9 Disember, kes sekali lagi menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah hospital swasta bagi tujuan ‘sign on’ ke atas kapal dan ujian rT-PCR mendapati kes positif Covid-19 pada 10 Disember,” tegasnya.

Sehubungan itu, jelas Masing kes tersebut juga tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala jangkitan Covid-19.

“Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Ia juga masih dalam siasatan dan aktiviti pengesanan semua kontak kepada kes ini sedang giat dilakukan.

“Berdasarkan sejarah perjalanan dan hasil siasatan awal, kes ini dipercayai telah mendapat jangkitan semasa berada di negara asal iaitu di Filipina dan kes dikategorikan sebagai kes Import A,” katanya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak