SEDC teliti semula produk pelancongan susulan COVID-19

KUCHING: Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong mengambil inisiatif dengan mempelbagaikan usaha bagi menjana pendapatan, termasuk menanam sayur-sayuran tempatan dan tanaman herba di laman, memperkenalkan pakej pelancongan baharu serta khidmat penghantaran makanan ke kediaman susulan pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Bahagian Pelancongan dan Hospitaliti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Mark Ferguson berkata sayur-sayuran yang ditanam di sekitar laman SVC dimanfaatkan sama ada dijual terus, dimasak serta dihidangkan kepada para pelanggan.

Justeru, beliau menyifatkan COVID-19 sebagai peluang untuk meneliti semula produk-produk pelancongan sedia ada agar dapat dimantapkan dan mendatangkan manfaat untuk perniagaan serta industri pelancongan negeri itu secara amnya.

Ini termasuk memikirkan kaedah inovatif untuk menjana pendapatan, mewujudkan pakej dan produk pelancongan bagi menarik kehadiran pengunjung ke SCV susulan kemerosotan ketara yang mencecah 4-5 orang pengunjung sehari susulan COVID-19.

“Pada masa ini, kami dalam proses membangunkan laman herba dan dusun buah-buahan di SCV yang memakan masa beberapa bulan. Kami turut menanam sayur-sayuran tempatan di laman SCV bagi membantu kelangsungan restoran di sini.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan pekerja pada masa yang amat sukar ini. Walaupun pelancong asing dijangka kembali tidak lama lagi, namun pada masa sama kami juga perlu menumpukan kehadiran pelancong domestik,” katanya kepada Bernama.

Menurut Ferguson, sama seperti perniagaan lain, Bahagian Pelancongan dan Hospitaliti SEDC juga berdepan prospek suram susulan perubahan dunia manakala sektor korporat terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu akibat COVID-19.

“Pasaran akan terus digugat oleh pandemik serta pembangunan teknologi-teknologi baharu. Kadar penginapan hotel-hotel SEDC juga merosot sehingga mencecah kurang 10 peratus akibat kebimbangan membabitkan pandemik itu.

“Bagaimanapun, pusat-pusat peranginan kami mendapat faedah dari segi pelancongan domestik khususnya pada hujung minggu. Malah, kami berharap dapat dapat memanfaatkan pelancongan tempatan ini selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching,” katanya.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menilai secara terperinci prestasi hotel-hotel SEDC sebelum dan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta sama ada jumlah tetamu meningkat selepas PKPB ditamatkan pada 27 November lepas.

Menurutnya, Disember ini menyaksikan banyak pembatalan penginapan manakala kedua-dua hotel Grand Margherita dan Riverside Majestic Astana Wing telah disenaraikan sebagai hotel kuarantin COVID-19 dan Riverside Majestic Puteri Wing ditutup bagi pengubahsuaian sehingga Julai 2021.

Ferguson berkata, sebelum PKP, hotel dan penginapan SEDC diuruskan oleh Hemisphere Hotels & Resorts yang melibatkan Riverside Majestic, Grand Margherita dan Damai Beach Resort — telah menikmati kadar penginapan melebihi 60 peratus manakala perniagaan makanan dan minuman (F&B) pula mencatat perkembangan pesat.

Damai Beach Resort pula terus dibuka sepanjang PKP walaupun kadar penginapannya adalah kurang daripada 10 peratus.

Bagaimanapun, perniagaan beransur-ansur meningkat sejak Julai lepas dengan kadar penginapan mencecah lebih 30 peratus pada Oktober dan aktiviti barbeku unggun api ketika matahari terbenam pada Sabtu terbukti menjadi tarikan utama pelancong.

Malah, kadar penginapan pada hujung minggu juga mencatat lebih 80 peratus.

Dalam pada itu, Hotel Grand Margherita pula menyaksikan peningkatan kadar penginapan melebihi 40 peratus pada September namun susut semula kepada kurang 10 peratus ketika PKPB susulan pembatalan banyak tempahan bilik dan majlis, kata Ferguson.

“Sejajar dengan keadaan perniagaan yang perlahan susulan PKPB, hotel dan pusat peranginan kami juga perlu inovatif dalam usaha mempromosikan bilik serta perkhidmatan F&B. Sebagai contoh, kami mengubah ruang Teres Rajang Hotel Grand Margherita dengan konsep santapan gaya fresco yang mana tetamu boleh menikmati santapan di tepi kolam renang.

“Konsep itu kami perluaskan pada malam Sabtu dengan menyediakan bufet tepi kolam dikenali ‘Chef’s Parade.’ Sudah pasti, ini berteraskan prosedur operasi standard yang ketat termasuk chef kami yang menyajikan makanan berbanding tetamu melakukannya sendiri,” katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas, SEDC telah memulakan beberapa inisiatif pembangunan dan kerja-kerja penambahbaikan, termasuk pengubahsuaian dan menaik taraf 239 bilik tamu dan koridor, bilik majlis di tingkat tiga serta usaha lain berkaitan di Puteri Wing Hotel Riverside Majestic di Kuching.

Malah, usaha sama telah dilaksanakan di Hotel Grand Margherita dan kompleks beli-belah Sarawak Plaza, kawasan ruang legar Sunset Ballroom di Damai Beach Resort serta Damai Lagoon Resort & Spa.

“SEDC juga dijangka melabur untuk membangunkan Semenanjung Damai sebagai tarikan pelancong utama berdasarkan pelan induk memajukan lokasi serta inisiatif lain yang berkaitan,” katanya.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak