Ujian percubaan SPM di rumah

SEMALAM sebanyak 2,004 sekolah atau 85 peratus daripada 2,350 sekolah di seluruh negara mengadakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebelum sekolah ditutup bermula hari ini.

Menariknya, peperiksaan percubaan itu tidak diadakan di sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini dan Kementerian Pendidikan mempunyai cara untuk mengenal pasti cara peperiksaan dijalankan.

Bagaimanapun, kita masih berharap dalam tempoh penutupan sekolah ini, pelajar akan terus belajar supaya menjejaskan pelajaran yang hampir setengah tujuh bulan tidak bersekolah susulam pandemik Covid-19.

Kementerian Pendidikan juga bakal melaksanakan sesi dialog prestasi pada akhir bulan ini, yang akan memberi keutamaan kepada prestasi dalam peperiksaan percubaan SPM.

Dengan langkah ini, setiap negeri boleh mengambil tindakan tertentu di sekolah terbabit di negeri masing-masing.

Namun calon kena memahami bahawa kepentingan peperiksaan percubaan SPM, yang mana boleh digunakan mereka untuk permohonan ke institusi pengajian tinggi dalam bidang yang memerlukan temu duga, jika keputusan peperiksaan sebenar belum dikeluarkan.

Sesungguhnya, Covid-19 ini mengubah banyak perkara daripada pendidikan dan gaya hidup, daripada kos sara hidup dan rezeki keluarga – ia berubah sekelip mata.

Malah banyak perkara perlu disemak semula, peperiksaan yang tertunda, pelajaran yang tertinggal dan diri pelajar sendiri yang belum bersedia menjalani peperiksaan.

Ini menuntut kita supaya kurang bergantung mengukur kebolehan dan pencapaian pelajar melalui peperiksaan sumatif semata-mata.

Kaedah penilaian seharusnya diubah selari dengan motif untuk menguji pemahaman pelajar, bukannya berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Sistem pengukuran cara memastikan pemahaman pelajar perlu diubah kepada penilaian secara berterusan kerana itu perlu ada kaedah ujian dalam talian.

Guru pula perlu ubah mentaliti daripada menjadi pensyarah dalam kelas kepada fasilitator dalam talian dan pengawas pembelajaran dengan membekalkan bahan dan silibus berkaitan.
Justeru, peperiksaan dapat diteruskan tidak semestinya perlu ditunda.

Satu lagi kaedah adalah pengubahsuaian soalan penilaian boleh dilakukan bagi memastikan peperiksaan awam ini diteruskan mengikut piawaian dan gred kebangsaan seperti sebelum ini.

Buat semula soalan ujian baharu yang hanya mengambil kira sebahagian daripada kurikulum saja, misalnya jika sesuatu subjek itu mengandungi 100 topik, hanya mengambil sebahagian daripadanya saja sesuai dengan keadaan sekarang.

Dan, kita berharap tahun depan anak-anak kita dapat bersekolah seperti biasa dan mengejar banyak ilmu yang hampir setahun tertinggal.

Pelajar sendiri pun sudah muak untuk hari ini pergi sekolah, esok tutup sekolah. Cuti yang terlalu panjang memungkinkan pelajar lupa dengan banyak perkara.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak