BETONG: Rumah ibadat yang sudah menerima peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agamaagama Lain (Unifor) perlu mengemukakan laporan perbelanjaan tiga bulan sekali.

Pengarahnya Richard Lon memberitahu, rumah-rumah ibadat di Betong juga boleh memohon bantuan daripada Unifor.

“Gereja, tokong dan kuil yang memerlukan peralatan asas boleh mengemukakan permohonan. “Bagaimanapun, jika permohonan dilulus dan peruntukan tersebut sudah disalurkan, mereka perlu membuat laporan perbelanjaan ke ibu pejabat Unifor setiap tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Methodist Church Iban Bandar Betong dekat sini baru-baru ini.

Selain bantuan kepada Unifor, kesemua rumah-rumah ibadat di Sarawak juga boleh memohon peruntukan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) atau Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Adun atau Ahli Parlimen di kawasan masing-masing untuk menampung keperluan mereka.

Terdahulu Richard memaklumkan sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan oleh Unifor kepada pihak Methodist Church Iban Bandar Betong. Beliau memuji komitmen Adun Layar Gerald Rentap Jabu sebagai wakil rakyat yang prihatin mengenai keperluan tempat ibadat.

“Beliau selalu memohon bantuan daripada Unifor untuk pembangunan di kawasannya,” tambahnya.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong Kaunselor Horace Entoi mewakili Rentap, Pemanca Norman Ngumbang, Henry Jugah, ketua-ketua gereja di Bandar Betong turut hadir pada majlis tersebut.