BINTULU: Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu turut menerima laporan sebuah bot tanpa pemilik dijumpai terdampar di tepi pantai berhampiran Kuala Serupai, Tatau sekitar jam 2.25 pagi tadi dan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan sejurus laporan diterima.

Menurut Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil, dua aset laut Maritim Malaysia iaitu KM JEPAK dan KILAT 44 telah diatur gerak bagi melaksanakan operasi SAR tersebut.

“Setakat ini, pihak kami mengesyaki, mangsa ialah Mohd Ainul Hadian berumur 23 tahun. Ini berdasarkan rekod lesen pemilikan bot tersebut dan maklumat itu turut disahkan oleh bapa mangsa,” katanya.

“Berikutan itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di hadapan rumah ayah mangsa di Kuala Tatau,” tambahnya.

Menurut Effendy lagi, bapa mangsa berkata terdapat jaket keselamatan bersama mangsa dan mangsa berkemungkinan pandai berenang. Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju berwarna kelabu dan berseluar pendek.

Keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5 meter dan cuaca yang tidak menentu di lokasi kejadian menyukarkan operasi carilamat yang melibatkan seramai 25 orang anggota serta turut dibantu aset-aset dari Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Zon Maritim Malaysia Bintulu menggesa komuniti maritim terutamanya di Bintulu agar mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 / Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254).