KUCHING: Sarawak telah menghentikan pengimportan ayam dari luar negara sejak Mac lalu kerana bekalan di negeri ini mencukupi, kata Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah mengesahkan penamatan import ayam dari Belanda dan Denmark.

“Ini bermakna Sarawak tidak lagi mempunyai sebarang produk import ayam dari luar negara. “Sekiranya terdapat ayam yang diimport berada di negeri ini, ia adalah produk yang tidak dibenarkan masuk ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Halal Majlis Islam Sarawak (MIS) di sini pada Khamis.

Sementara itu menurut Pengarah JPVS Dr. Adrian Susin Ambud, notis penamatan import ayam dari dua negara itu telah dikeluarkan Mac lalu kerana kurang permintaan.

Katanya, setakat ini Sarawak mampu menyediakan bekalan yang mencukupi. “Sebelum ini kita mengimport ayam dari dua kilang di negara berkenaan kerana telah diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Tetapi pada November lalu, permit import dari dua negara itu ditarik semula kerana terdapat penyakit selesema burung di sana,” jelasnya sambil menambah, Sarawak tidak mengimport ayam dari negara yang mempunyai penyakit kaki, tangan dan mulut.

Tambahnya, bekalan ayam untuk seluruh Sarawak mencukupi dan tidak perlu mengimport ayam sejak pandemik Covid-19.

“Selain itu, pada Mac lalu terdapat permohonan daripada Persatuan Penternak Ayam Sarawak untuk kita mengurangkan pengimportan ayam kerana kita mengeluarkan banyak ayam.

“Kita menyembelih lebih 100,000 tan sehari kerana kita mempunyai banyak kilang ayam, tambahan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak yang terjejas,” tambahnya.

Untuk daging katanya, Sarawak tidak mempunyai bekalan yang mencukupi dan hanya dapat membekalkan sekitar 12 peratus keperluan di negeri. “Justeru, kita masih membenarkan pengimportan daging lembu dan kerbau dari kilang-kilang di luar negara yang dibenarkan antaranya Australia, New Zealand dan India,” katanya lagi.