KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited untuk membangunkan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sejajar dengan matlamat yang disasarkan pemimpin di negeri ini.

“Semua sedar bahawa 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar bagi semua rakyat di seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

“Situasi ini turut dirasai oleh rakyat Sarawak. Pandemik ini telah menjejaskan pelbagai sektor dan corak hidup,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2021.

Menurutnya, dalam keadaan agak mencabar ini, Kerajaan Sarawak akan tetap berusaha memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat di negeri ini.

“Di bawah pentadbiran GPS sendiri, terdapat banyak rancangan pembangunan yang berpusatkan rakyat dan sebagainya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pengumuman Belanjawan Sarawak 2021 juga adalah bukti jelas terhadap komitmen GPS untuk mempercepat pembangunan luar bandar, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyatnya.

“Belanjawan ini juga mencerminkan kebijakan pemimpin yang mengutamakan pembangunan berdasarkan desa untuk mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan kini sedang dalam proses mempersiapkan Sarawak untuk melakukan transformasi ekonomi dengan lebih giat, navigasi landskap strategi luaran yang berubah secara global sambil memperdalam komponen sosialnya di negeri ini.

“Saya menggesa semua rakyat Sarawak untuk bersatu padu dan membawa Sarawak melalui krisis ini dengan semangat Sarawak agi idup agi ngelaban.

“Berikan sokongan penuh anda kepada GPS dan bersama-sama kita memakmurkan dan melindungi Sarawak yang kita sayangi,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menjaga negeri ini.

“Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Sarawak, semoga ia dipenuhi dengan cinta, kegembiraan, kesejahteraan dan tetap sihat,” tambahnya lagi.