MUKAH: Sempena dengan tahun baharu 2021, Pasar Terapung Sungai Tellian bakal menjadi produk pelancongan baharu di Sarawak selepas dibuka kepada orang awam pagi tadi.

Terletak lebih enam kilometer dari Pekan Mukah, Pasar Terapung ini merupakan antara yang pertama diwujudkan dengan memfokuskan komuniti setempat sebagai pemain utama.

Dirasmikan oleh Adun Tellian Yusibnosh Balo ia diyakini bakal menggerakkan industri pelancongan khasnya inap desa, muzium mini, monumen bersejarah termasuk merangsang aktiviti ekonomi penduduk sekitar.

“Pasar terapung ini dapat menyediakan pusat jualan bagi penduduk kampung memasarkan produk hasil tani, tangkapan laut dan hasil hutan secara terus.

 

“Pasar ini akan beroperasi setiap hujung minggu termasuk cuti umum dengan penglibatan peniaga di sekitar Mukah di tujuh buah kampung tanpa melalui orang tengah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pasar Terapung Sungai Tellian di sini pagi tadi.

Beliau turut berharap, sebagai perintis kepada pasar terapung di Sungai Tellian khasnya di Sarawak, ia dapat diperluaskan lagi di sekitar kawasan Dun Tellian.

“Meskipun usaha ini bukan sesuatu yang mudah, namun sesuatu harus dilakukan demi memangkin pertumbuhan ekonomi bukan sahaja Mukah, malah Sarawak khasnya lebih-lebih lagi ketika mengharungi fasa pemulihan pandemik Covid-19,” ujarnya lagi.

Yusibnosh juga mahu kawasan Mukah, dapat menjadi tumpuan kepada pelancong domestik tambahan apabila siapnya Lapangan Terbang Baru Mukah pada petengahan tahun ini.

Bermula minggu hadapan pasar terapung ini akan mula beroperasi sepenuhnya dengan penglibatan lebih ramai penduduk menjual barangan keperluan di sepanjang Sungai Tellian.

Pasar Terapung Tellian ini ialah satu inisiatif dibawah program Mukah Xtra iaitu XtraPelancongan termasuklah XtraBudaya, XtraKreatif, XtraBelia, XtraEkonomi, XtraTempat dan XtraKeselamatan.