BERCAKAP mengenai kecelaruan personaliti atau personality disorder, apa yang anda tahu dan anda perlu tahu?

Pernahkah anda terfikir atau bertemu dengan individu yang mempunyai cara pemikiran yang berbeza dengan kebanyakan orang lain?

Atau pernahkan anda berasakan bahawa cara rakan anda melihat sesuatu situasi, menangani masalah atau bertindak tidak seperti yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang berada dalam situasi yang sama?

Ia sejenis kecelaruan mental yang biasa ditemui oleh pakar psikiatri yang merawat masalah kecelaruan mental, namun ia antara jenis penyakit mental yang jarang dibicarakan.

Cuma ia semakin mendapat perhatian masyarakat apabila sebuah drama berjudul ‘Misteri Mona’ yang disiarkan di TV3 baru-baru ini mengisahkan wanita menghidap Dissociative Identity Disorder (DID) atau kecelaruan jadi diri.

Menjelang 2020, penyakit mental yang juga dikenali kecelaruan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar kepada rakyat Malaysia.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2015 mendapati satu daripada tiga orang dewasa atau 4.2 juta rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas (29.2 peratus) bergelut dengan masalah ini.

Sebenarnya setiap individu mempunyai personaliti tersendiri yang membentuk ciri-ciri seseorang individu itu berfikir, berinteraksi serta menjalani kehidupan harian tetapi hanya segelintir sahaja yang mempunyai masalah kecelaruan personaliti.

Kecelaruan personaliti merupakan sejenis kecelaruan mental, iaitu seorang individu yang mempunyai corak pemikiran, imej diri, kefungsian dan tingkah laku yang tidak fleksibel dengan cara mereka melihat sesuatu keadaan berbeza dari individu normal.

Situasi ini menyebabkan mereka sukar untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sehingga menimbulkan masalah dalam perhubungan, kehidupan sosial serta pekerjaan dan lebih bersifat kekal dan tidak fleksibel sehingga menyebabkan tekanan.

Keadaan kesihatan ini biasa berlaku kepada wanita, berbanding lelaki dan boleh mempengaruhi pesakit tanpa mengira usia serta muncul ketika remaja atau dewasa, meskipun kesannya sangat serius.

Ramai penghidap penyakit mental tidak mahu bercakap mengenainya.

Dari segi statistik dianggarkan kira-kira sembilan sehingga 15 peratus penduduk dunia mempunyai masalah Kecelaruan personaliti boleh dibahagikan kepada kumpulan kecil yang mempunyai tingkah laku yang agak sama iaitu Kluster A: kecelaruan personaliti schizoid, kecelaruan personaliti paranoid, dan kecelaruan personaliti skizotypal. Kluster B adalah kecelaruan personaliti antisosial, kecelarun personaliti pinggiran dan kecelaruan personaliti narsisistik, manakala Kluster C merupakan kecelaruan personaliti menghindar, kecelaruan personaliti kebergantungan, dan kecelaruan personaliti obsesif kompulsif.

Walaupun punca yang tepat penyakit ini tidak diketahui, namun terdapat pelbagai faktor risiko yang dikaitkan antaranya genetik, trauma, kehidupan zaman kanak-kanak yang sukar, pernah mengalami kecederaan otak dan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak.

Dan untuk mendiagnosis pesakit ini bukan mudah kerana ia perlu memenuhi kriteria tertentu termasuk melalui pelbagai sesi penilaian, mengetahui sejarah hidup pesakit serta pemeriksaan fizikal.

Manakala rawatan utama penyakit ini adalah melalui sesi psikoterapi yang komprehensif dengan individu tersebut akan dibantu untuk mengenal pasti masalah, menguruskan emosi dan tekanan.

Ubatan yang diberikan bergantung kepada gejala dialami seperti ubat antikemurungan, antikeresahan, penstabil emosi serta antipsikotik.

Selain itu, pengamalan gaya hidup yang sihat serta sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan juga dapat membantu dalam menguruskan kecelaruan personaliti yang dialami.

Pada pandangan penulis, kecelaruan identiti ini perlu diubati kerana orang ramai mempunyai hak untuk berasa risau dengan penghidap penyakit mental ini memandangkan banyak kes jenayah melibatkan mereka berlaku di negara kita.

Langkah terbaik ialah sentiasa berjaga-jaga dengan mereka yang dihidapi penyakit ini kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.