KUCHING: Pengguna feri dinasihati agar lebih berhatihati semasa menggunakan peng-angkutan tersebut terutamanya mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata demikian mengulas mengenai kejadian kenderaan pacuan empat roda yang jatuh dari feri Triso pada Jumaat yang mengorbankan sembilan mangsa berusia empat bulan hingga 36 tahun

. “Wakil saya terus berjumpa dengan ahli keluarga mangsa di Klinik Kesihatan Beladin sementara menunggu ambulans membawa semua jenazah ke Hospital Sri Aman pada hari kejadian.

“Justeru, saya berharap semua pengguna feri Triso berhati-hati dalam perjalanan terutamanya yang jauh, sentiasa utamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan turut merakamkan ucapan takziah kepada sembilan keluarga mangsa tragedi feri Triso tersebut.

“Saya menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga terdekat mangsa dan mereka yang terkesan dalam kemalangan ini,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, tahun baharu 2021 di Sarawak bermula dengan tragedi apabila sembilan orang termasuk seorang bayi lemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di pangkalan feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Menurut maklumat awal Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak, kesemua mangsa lima lelaki dan empat perempuan berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Enam mangsa yang beragama Islam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Simanggang, semalam.

Manakala tiga mangsa yang beragama Kristian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian di Sibu.