MIRI: Tiga keluarga yang hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka ranap dijilat api kira-kira jam 1.30 petang kelmarin terus mendapat perhatian orang awam termasuk wakil rakyat.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga Adun Senadin turut hadir ke lokasi kejadian pagi semalam bagi meninjau keadaan kesemua mangsa kebakaran.

Kim Shin hadir ditemani pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Miri, Penghulu Nasir, dan Kapitan Chong Ah Muk.

Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa, selain menjelaskan bahawa agensi berkaitan akan terus tampil membantu kesemua mangsa.

Dalam kejadian tengahari kelmarin, tiga buah rumah struktur tidak kekal termasuk dua buah kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Taman Desa Ras Tudan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak sebelum itu telah terima panggilan kebakaran rumah di alamat berkenaan kira-kira jam 1.30 petang.

Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan anggota bantuan BBP Miri telah bergerak lokasi bagi operasi pemadaman.