SKUAD Kuching City FC mengambil dua pemain baharu dari Semenanjung bagi memantapkan pertahanan kiri dan tengah.

Pemain tersebut ialah Mohd. Rafiq Shah Mohd. Zain, 27, (pertahanan kiri) dari Selangor dan tonggak utama pasukan UKM FC (2019/2020).

Seorang lagi pemain ialah Muhammad Badrul Amin Hamid, 22, (sayap/tengah) dari Terengganu dan bekas pemain UKM FC 2020.

Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim memberitahu, pemain terbabit merupakan tonggak utama skuad UKM FC musim lalu.

“Kedua-duanya mempunyai kriteria yang diinginkan,” ujar Irfan yang dihubungi Suara Sarawak.

“Saya yakin mereka mampu memainkan peranan di posisi pertahanan dan tengah.

“Malah saya percaya kehadiran mereka akan menambah kekuatan sedia ada,” jelas Irfan.

Kuching akan menyambung semula sesi latihan Isnin ini, di bawah kendalian Ideris Untong bersama-sama Firdaus Morshidi, Zulkarnaen Posa dan Nizam Mahmud.

Irfan akan tiba di Kuching pada 7 Januari ini dan akan melalui proses kuarantin selama sepuluh hari sebelum memulakan tugas rasmi.