BELAGA: Unit Saudara Kita (USK) Sungai Asap memohon isu penempatan umat Islam di kawasan Penempatan Semula Bakun ( BRS ) Sungai Asap, Belaga diberi perhatian segera oleh pihak berwajib.

Pengerusi USK Sungai Asap, Norayu Chen Abdullah berkata menerusi perjumpaan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahun lalu telah memberikan persetujuan bagi menyediakan kawasan Perkampungan Islam Orang Ulu (Saudara Kita) di BRS Sungai Asap.

Malah, katanya, perjumpaan dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kapit dan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon pada September tahun lalu juga bersetuju mencari tapak sesuai bagi Perkampungan Saudara Kita.

“Kami mohon hitam putih di mana tempat tapak perkampungan kami tinggalkan itu sebab sudah sekian lama kami menunggu untuk kami membuat perkampungan di Sungai Asap ini. Apa yang USK mahukan ialah tindakan lanjut daripada JTS dan Majlis Islam Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung USK Sg Asap di Masjid Al – Fattah Sungai Asap di sini, pagi tadi.

Norayu Chen Abdullah memohon  perhatian terhadap isu penempatan umat Islam di kawasan Penempatan Semula Bakun ( BRS ) Sungai Asap, Belaga

Menurut Norayu, permohonan itu merupakan sebahagian daripada usul utama yang akan dilakukan oleh USK Sungai Asap bagi tahun ini dalam usaha memastikan kebajikan dan kerja dakwah di kalangan ahlinya berjalan mengikut perancangan.

Malah, katanya pelbagai aktiviti telah dirancang untuk dijalankan bersama ahli USK Sungai Asap yang merangkumi 206 keluarga.

Sementara itu, salah seorang Ahli Jawatankuasa USK Sungai Asap, Hamizan Jok Abdullah berkata mereka bukan tidak mahu tinggal bersama ahli keluarga lain di rumah – rumah panjang sedia ada, sebaliknya mahu memastikan aktiviti ibadah Saudara Kita dan anak – anak mereka terpelihara.

“Bukan kami tidak mahu tinggal dengan keluarga kami di rumah panjang, tetapi kami mahu tempat kami sendiri supaya senang untuk beribadah dan melakukan aktiviti kami sendiri mengikut lunas-lunas Islam yang kami anuti,” ujarnya.

Tambahan, kata Hamizan lagi, kedudukan rumah panjang mereka agak jauh dari Masjid Al – Fattah yang menjadi pusat ibadah mereka (USK Sungai Asap).

Hamizan mahu memastikan aktiviti ibadah Saudara Kita dan anak – anak mereka terpelihara.