BINTANGOR: Pasukan bomba dari BBP Bintangor terpaksa berulang-alik sejauh satu kilometer sebanyak empat kali bagi mendapatkan air dalam usaha memadam kebakaran rumah di Jalan Yong Sing dekat sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak memberitahu, kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat jenis tidak kekal yang mana bahagian bawahnya dijadikan tempat membaiki dan mengecat kenderaan.

“Bangunan yang dianggarkan bersaiz hampir 200 meter persegi yang turut mempunyai setor, musnah 100 peratus.

“Pasukan bomba yang diketuai Nicholas Belulin berhadapan cabaran kerana tiada sumber air yang dekat dengan kawasan kebakaran.

“Difahamkan, mereka berulang-alik sejauh satu kilometer sebanyak empat kali bagi mendapatkan air sehingga kebakaran terkawal kira-kira 10:20 malam,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 11:47 malam.

Terdahulu, BBP Bintangor dimaklumkan tentang insiden pada 9:43 malam.

Tiada kemalangan dilaporkan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

IKHTIAR… Pasukan BBP Bintangor berusaha memadam kebakaran rumah di Jalan Yong Sing dekat sini, malam tadi.