KUCHING: Sebuah bot jenis fiber dipercayai kenderaan yang dinaiki Samsudin ditemui terdampar berhampiran pantai Damai Golf resort.

Hasil laporan yang diterima di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) mengesahkan bot milik mangsa ditemui sekitar jam 1.20 petang oleh bot peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Walaubagaimanapun kelibat mangsa masih gagal dikesan berada berdekatan di kawasan bot tersebut dijumpai.

Terdahulu, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata PHC telah ditubuhkan di Jeti Perikanan Laut Sarawak Santubong bermula jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, Ops Carilamat yang dikoordinasikan oleh MRSC Kuching itu disertai beberapa agensi terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

“Seramai 50 pegawai dan anggota termasuk penduduk kampung terlibat operasi Carilamat berkeluasan 266 batu nautika persegi,” katanya dalam sidang media di PHC Jeti Perikanan Laut Sarawak Santubong hari ini.

Beliau selain itu menggesa komuniti Maritim agar membatalkan niat untuk ke laut sekiranya cuaca buruk dan keadaan mendesak untuk ke laut serta memakai jaket keselamatan memandangkan cuaca di laut masih kurang baik.