MIRI: Masyarakat tidak perlu takut untuk menderma darah meskipun berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19, sebaliknya terus membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata, belum ada rekod bahawa menderma darah akan menyebabkan jangkitan Covid-19 dalam saluran darah.

“Ketika ini belum terdapat rekod perubatan atau bukti yang menunjukkan penderma darah dijangkiti Covid-19 menerusi pemindahan darah kerana ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), semalam.

Menurutnya, bekalan darah sentiasa diperlukan bagi menyelamatkan nyawa orang lain terutama bagi pesakit barah, ibu melahirkan anak, pesakit kronik, pembedahan dan sebagainya.

“Kempen derma darah ini dilihat sebagai satu usaha untuk menggalakkan golongan masyarakat menderma dan menjalani pemeriksaan kesihatan terhadap seseorang individu,” ujarnya.

Malah kata Dennis lagi, aktiviti itu bukan sesuatu yang berbahaya memandangkan ia dilakukan mengikut prosedur dan pemeriksaan terdahulu oleh pegawai kesihatan.

“Usaha mempromosikan kempen sebegini perlu terus dilaksanakan agar lebih ramai masyarakat kita memahami peranan mereka dalam membantu menyumbangkan sesuatu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dennis memberitahu, untuk rekod, kutipan darah bagi 2020 ke-seluruhannya adalah 8,638 pain iaitu turun satu peratus (96 pain) berbanding 8,734 pain pada tahun sebelumnya.

“Ketika kita berdepan dengan penularan Covid-19, masyarakat Miri terus tampil menyokong kempen-kempen derma darah dengan Tabung Darah Hospital Miri hanya kekurangan satu peratus berbanding 20 peratus di hospital lain,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa Tabung Darah terbabit bukan hanya untuk kegunaan Hospital Miri tetapi turut disalurkan untuk keperluan Klinik Kesihatan Marudi, Limbang, Lawas serta hospital swasta dan Hospital Sabah turut memerlukan kumpulan darah tertentu dari Hospital Miri.

Beliau juga memuji NSJA yang berjaya menganjurkan program itu serta penderma yang begitu prihatin dan bermurah hati membantu mereka yang memerlukan. “Penganjuran kempen derma darah sedemikian untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah.

Ini adalah inisiatif yang baik dan perlu dicontohi,” jelasnya. Bukan itu sahaja, NSJA secara aktif melakukan pelbagai kerjakerja komuniti sosial dan kemasyarakatan selain menjalankan tugas sebagai wartawan.

“Mereka bukan sahaja menulis berita mengenai penganjuran dan kebaikan kempen tersebut, tetapi turut tampil bersama-sama menyokong dan menganjurkan aktiviti sama bagi kesejahteraan serta manfaat masyarakat setempat,” tambahnya.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu; Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Law Poh Kiong: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Merekrut Penderma Darah PBSM Miri Kaunselor Karambir Singh dan Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Andy Jong Wan Joon.