KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan yang balik ke Pusa, Betong antara 13 kes positif Covid-19 yang dilaporkan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kanak-kanak itu direkodkan sebagai kes import-B iaitu saringan individu yang balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan.

“Kanak-kanak itu bersama-sama enam lagi ahli keluarga yang lain dari Johor balik ke Pusa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Lapangan Terbang Sibu pada 26 Disember 2020.

“Setibanya di Lapangan Terbang Sibu pada 26 Disember 2020 setelah menjalani saringan bersama ahli keluarga yang lain, dan telah diberikan arahan kuarantin di rumah selama 14 hari dan telah dipakaikan gelang,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini semalam.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, Sarawak mecatatkan 13 kes positif Covid-19 yang dikesan di Daerah Kuching (5), Miri (5), Bintulu (2) dan Pusa (1) yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 1,161 kes.

“Daripada 13 kes itu, 10 kes import iaitu lapan dari Semenanjung Malaysia serta masing-masing satu dari Indonesia dan Sabah.

“Manakala dua merupakan kes jangkitan tempatan serta satu lagi adalah saringan individu yang mempunyai kontak kes positif Covid-19,” jelasnya.

Menurutnya, rakyat Sarawak yang balik dari luar Sarawak di kawasan kekurangan pusat kuarantin dibenarkan menjalani kuarantin di rumah dengan dipakaikan gelang.

“Seperti kluster mandor, kita benarkannya kuarantin di rumah kerana kekurangan pusat kuarantin di Sibu.

“Namun, akibat musim perayaan iaitu Krimas maka berlakunya penyebaran wabak,” ujarnya

Beliau bagaimanapun memberitahu, JPBN telah mencari beberapa hotel tambahan di Sibu, Sarikei, Betong dan Mukah untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin.