KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan mengeluarkan pemberitahuan lokasi lawatan kes positif Covid-19 mulai esok meskipun ia amat sensitif.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebelum ini pihaknya hanya mengeluarkan pemakluman secara umum tanpa tarikh dan waktu.

“Dengan pemberitahuan itu nanti ia mengandungi maklumat tarikh dan waktu kes ke lokasi berkenaan secara tepat yang dikesan melalui aplikasi sedia ada dan sebagainya.

“Kita berbincang panjang lebar mengenai perkara ini dan mengambil keputusan tersebut atas saranan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Datuk Sim Kui Hian),” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kuching hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, sekiranya orang awam turut melawati lokasi kes positif maka mereka boleh melakukan saringan di kemudahan kesihatan terdekat.

“Kita mengguna pakai pendekatan yang diambil oleh Singapura mengenai perkara ini.

“Ia berkuat kuasa esok,” jelasnya.

Dalam pada itu Uggah memberitahu, JPBN turut mengeluarkan garis panduan pengecualian pembayaran kos kuarantin dan ujian RT-PCR Covid-19

“Bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar Sarawak (3 tahun ke atas) dan kedua-dua atau salah seorang ibu bapa adalah rakyat Sarawak, kos kuarantin dan ujian RT-PCR akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak

“Bagi bukan rakyat Sarawak yang pasangan merupakan rakyat Sarawak, kos tanggungan bilik di pusat kuarantin dan ujian RT-PCR Covid-19 akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak dan perlu menunjukkan bukti surat perkahwinan,” jelasnya.

Bagi perhimpunan orang ramai pula, Uggah berkata hanya 50 peratus daripada saiz ruang dan penjarakan fizikal dibenarkan.

“Contohnya, jika kapasiti sesebuah dewan boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu masa, kita benarkan 50 peratus bagi kapasiti dewan berkenaan.

“Bagi tempat terbuka, hanya dibenarkan 200 orang sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan akan mengeluarkan warta Perintah Perlindungan Kesihatan Awam (Langkah Menjalankan Kegiatan Dan Pergerakan Orang Dalam Kawasan Tempatan yang Terinfeksi (No. 3), 2021 di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam, 1999 berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Mac depan.