CAIRO: Mesir, Ethiopia dan Sudan meneruskan semula rundingan mereka mengenai empangan kontroversi yang dibina Ethiopia di Blue Nile, kata para pegawai negara itu semalam.

Rundingan antara tiga negara ini sudah lama berlangsung namun masih belum menemui sebarang penyelesaian.

Rundingan itu di sambung semula kira-kira enam minggu selepas Khartoum bertindak memboikot perbincangan itu pada November lepas, mendesak Kesatuan Afrika (AU) memainkan peranan lebih besar dalam mencapai kesepakatan mengenai Empangan Renaissance Grand Ethiopia yang dipertikaikan.

Rundingan tersebut memberi penekanan kepada pengisian dan operasi empangan raksasa itu.

Soalan utama masih belum ada kepastian ialah berapa banyak air yang akan dilepaskan Ethiopia ke hilir jika kemarau bertahun-tahun berlaku dan bagaimana ketiga-tiga negara menyelesaikan sebarang pertikaian di masa depan.

Ethiopia sebelum ini menolak perjanjian ikatan pada peringkat akhir projek. Menteri Luar dan Pengairan dari tiga negara Lembah Nil telah mengadakan rundingan itu melalui dalam talian pada hari Ahad, kata Ahmed Hafez, jurucakap Kementerian Luar Negeri Mesir.

Sudan juga mengesahkan pertemuan itu dan melaporkan Kementerian Pengairan Sudan menyatakan ketiga-tiga mereka akan mengadakan perbincangan berasingan dengan pakar dan pemerhati AU sebelum pertemuan tiga pihak pada 10 Januari ini. – AFP