SIBU: Hujan renyai-renyai mengiringi langkah akhir ibu dan dua anak yang menjadi korban tragedi Feri Triso, sementara si ayah dan suami yang ditinggalkan dilihat terus meratapi pemergian isteri dan anak-anaknya.

Suami mangsa tidak mahu berbicara apa-apa dan enggan komen mengenai keadaan dirinya – dan difahamkan cuma itu dua anaknya.

Mendiang Lorna Ting, 33, serta dua anak lelakinya Alvin Phang, 12, dan Wallace Phang, 7 antara sembilan korban tragedi Feri Triso pada 1 Januari lalu selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terjunam ke dalam sungai Batang Rajang.

Manakala enam yang lain ialah kakak Lorna, Siti Nuraisyah Abdullah bersama-sama lima anaknya dikebumikan di Sri Aman pada 2 Januari lalu.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dibakar dan abu mereka akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana Sibu.

Alvin dan Wallace

Pengebumian yang bermula kira-kira jam 7 pagi itu dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga, saudara-mara serta sahabat handai yang kesemuanya diarahkan menunggu di luar pekarangan pusat pengurusan jenazah Sibu Mortuary Bukit Lima sementara pihak pengurusan jenazah memindahkan semua jenazah ke dalam keranda masing-masing.

Pada jam 7.30 pagi, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai kemudian dibenarkan masuk ke dalam bilik mayat untuk memberi penghormatan terakhir dan suasana bertukar pilu kerana ramai sanak-saudara meratapi apabila menatap wajah ketiga-tiganya sebelum keranda ditutup selamanya.

Kemudian sekitar jam 7.55 pagi, jenazah dibawa keluar dari bilik mayat untuk dihantar ke Taman Peringatan Nirvana Sibu yang terletak di Batu 23, Jalan Sibu-Bintulu yang merupakan destinasi terakhir ibu dan dua anaknya.