KUCHING: Dalam tempoh lima tahun akan datang, tiada lagi perkhidmatan feri menghubungkan jalan pesisir di Sarawak setelah pembinaan tujuh jambatan di laluan berkenaan siap sepenuhnya menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek pembinaan enam daripada jambatan tersebut iaitu Jambatan Paloh, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Sungai Krian, Jambatan Saribas, Jambatan Kemena dan Rambungan sudah bermula dengan peruntukan sudah disalurkan.

“Hanya projek Jambatan Batang Lupar yang masih belum memulakan pembinaan, namun peruntukan sudah disediakan dan proses tawaran tender juga sudah dibuka.

“Semua projek dijangka siap pada 2025, manakala Jambatan Batang Lupar mungkin mengambil masa lebih empat tahun pembinaan dan paling lama kerana ia terpanjang di Sarawak iaitu sepanjang lima kilometer (km),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat di tapak bekas kuari Ang Cheng Ho, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, pembinaan kesemua jambatan tersebut menelan kos sekitar RM5 bilion dan peruntukannya sudah disediakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sebenarnya memang kerajaan negeri mahu mempunyai satu sistem komunikasi jalan raya tanpa perkhidmatan feri dan ia sudah bermula sejak pentadbiran Allahyarham Tok Nan.

“Sebab itu, kita hendak membina Jambatan Batang Lupar dan di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri iaitu 50-50.

“Malah pendirian kita adalah semua jambatan di negeri mesti tanpa tol, tetapi anda tahulah apa terjadi (pembatalan projek Jambatan Batan Lupar, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Rambungan oleh Kerajaan Pakatan Harapan),” ujarnya.

Tegasnya, cadangan untuk menghentikan perkhidmatan feri sudah lama dirancang oleh Kerajaan Sarawak dan bukan hanya tercetus apabila tragedi kemalangan yang meragut sembilan nyawa di Feri Triso baru-baru ini.